Kalian pernah dengar dan tengok kisah pelanduk yang boleh dan pandai menari?Dulu ada kawan saya cerita yang kisah ini betul dan dia pernah lihat sewaktu dia mengikut seorang tok batin ke hutan.Kebetulan tok batin itu bapa angkatnya dan beliau semasa itu bertugas di Pahang era awal 90an.Mari pula kita baca kisah catatan seorang penulis ini berkenaan pelanduk yang boleh menari.
Agak sukar untuk mempercayai metos dan dongengan, lebih-lebih lagi ianya hanya wujud dalam cerita-cerita rakyat yang kita warisi sejak zamanberzaman lagi. Tetapi itulah yang cuba dibuktikan oleh saya dan krew penerbitan video Pusat Teknologi Pendidikan dan Media, Universiti Sains Malaysia (PTPM) (sekarang dikenali sebagai Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia). Bagaimana saya dan krew-krew terbabit melakukannya?
Saya telah dilantik ke jawatan Pegawai Penerbitan Sambilan
di PTPM pada 29 April 1993. Berikutan dengan perlantikan itu juga saya terpaksa
melepaskan jawatan sebagai Pegawai Penyelidik Sambilan di bawah Projek Video
Untuk Pengajaran yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Luar Kampus (sekarang
dikenali sebagai Pusat Pengajian Jarak Jauh) yang saya sandang sebaik sahaja
saya menamatkan pengajian di Pusat Pengajian Komunikasi pada tahun 1990.
Peluang yang diberi oleh PTPM sukar untuk saya lepaskan memandangkan saya telah
mempunyai hubungan erat dengan kakitangan pusat tersebut sejak di bangku
pengajian peringkat ijazah pertama lagi. Tambahan pula minat yang mendalam
dalam bidang penerbitan rancangan video dan tv kian mekar berkembang dengan
datangnya peluang seumpama itu.
Antara tugasan pertama saya di PTPM, yang menjadi pusat
untuk menghasilkan rancangan-rancangan berbentuk video untuk USM dan juga
klien-klien luar kampus di sekitar Pulau Pinang, ialah menerbitkan sebuah
program dokumentari mengenai pelanduk. Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Saad
(kemudiannya dianugerahkan Profesor) merupakan penyelia projek ini dan juga
bertindang sebagai penerbit, di samping Dr. Eddy Tan dari Pusat Pengajian Sains
Kajihayat sebagai penyelidik. Cabaran terbesar projek ini ialah untuk membuktikan
bahawa metos pelanduk boleh menari mampu direalisasikan ke dalam bentuk visual
untuk tontonan umum. Untuk melaksanakannya kami menggabungkan tiga bidang
kepakaran iaitu ilmu sains kajihayat, kebijaksanaan beberapa individu yang
biasa dengan perburuan binatang liar di hutan, dan aplikasi teknologi
penggambaran yang diterajui oleh krew-krew berpengalaman daripada Bahagian TV,
PTPM.
Beberapa bulan sebelum itu, saya telah dimaklumkan oleh pihak-pihak
tertentu bahawa krew Majalah 3 daripada TV3 telah cuba melakukan perkara yang
sama dengan membuat pemerhatian dan penggambaran terhadap pelanduk yang
dipelihara di beberapa buah zoo di negara ini tetapi gagal mencapai hasil yang
diingini. Akhirnya krew daripada stesen tv swasta tersohor itu terpaksa
melupakan hasrat mereka.
Pengalaman bermakna dan sukar dilupakan sepanjang
melaksanakan projek ini ialah saya dan krew terbabit berpeluang mengunjungi
beberapa lokasi hutan lipur dan hutan simpan di beberapa negeri di Semenanjung
Malaysia, antaranya ialah Hutan Simpan Sungai Besar, Selangor, Taman Negara,
Pahang, Hutan Simpan Hulu Terengganu, dan beberapa pusat kajian binatang liar
seperti badak, gajah dan seladang.
Pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi untuk melakukan
projek yang hanya diberi masa 3 bulan sahaja untuk disiapkan. Pada masa yang
sama juga saya dan krew penerbitan turut dibantu oleh beberapa orang renjer
daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Penggambaran awal bermula di Hutan Simpan Sungai Besar, Selangor. Kami meredah
hutan tebal dan semak-samun yang berketinggian sehingga paras dada, baik pada
waktu siang mahupun malam. Terasa perit dan kecutnya hati apabila kami terpaksa
meredah semak-samun ketika hari hampir tengah malam tanpa ditemani cahaya
bulan. Hanya lampu suluh dan sebilah golok kecil menjadi penguat semangat kami
ketika itu. Meskipun pada siang harinya kami melihat kesan jejak pelandung
begitu banyak di atas tanah yang masih lembap kerana baru disirami hujan, namun
sepanjang malam kami meredah hutan, tiada kelibat atau bayang pelanduk pun yang
muncul. Pak Teh, seorang bomoh tradisional dan juga pencari rotan dan akar kayu
yang dibawa khas dari Temerloh, Pahang, begitu galak bergendang dengan tiga
helai daun untuk mengimbau kehadiran pelanduk tetapi setiap kali mencuba hampir
dua atau tiga jam, kehampaan yang datang menjenguk hati kami.
Kegagalan di Sungai Besar tidak mematahkan semangat kami.
Van PTPM membawa kami merantau jauh ke Taman Negara, Pahang untuk meneruskan
misi yang belum berhasil itu. Dr. Abdul Rahim turut sama dalam misi ini.
Sepanjang berada di sana kami terpaksa melalui denai-denai sempit hasil
rintisan Orang Asli yang keluar mencari hasil hutan di tengah rimba tropika
yang menghijau itu. Pengalaman menakjubkan terpahat di hati apabila menyaksikan
betapa kayanya anugerah Tuhan yang menjadikan alam menghijau ini dengan
pokok-pokok tumbuh menujah langit.Sepanjang empat hari di Taman Negara, kami
tinggal di rumah rehat yang disediakan oleh Jabatan Perhilitan. Kami akan
keluar ke hutan pada awal-awal pagi, ketika embun masih bertafakur di atas
dedaun rumput menyambut kehadiran matahari pagi. Pak Teh begitu sabar berusaha
‘memalu gendang’ alamnya dengan harapan melihat kehadiran pelanduk yang kami
cari-cari selama ini. Kami juga bertemu dengan pelbagai spesis flora dan fauna.
Sesekali bayangan ganas Pak Belang melintas laju di dalam benak kami tetapi doa
di sudut hati, serta harapan kepada kakitangan Perhilitan yang bersama kami,
cepat-cepat memadamkan ingatan ngeri itu.
Kami berdepan dengan kegagalan lagi di Taman Negara. Hanya
kesan-kesan jejak dan sisa makanan pelanduk yang berupa buah-buahan hutan
sahaja yang kami temui. Ekoran kegagalan itu kami kembali ke USM untuk beberapa
hari untuk menyusun strategi baru. Kali ini saya diarahkan ke Hulu Terengganu
kerana mengikut Dr. Eddy Tan, rakan baiknya yang juga kerabat diraja
Terengganu, sering pergi memburu pelanduk di sana. Pada hari yang ditentukan,
saya dan tiga orang krew berlepas ke Hulu Terengganu dengan penuh harapan baru.
Ketika di Hulu Terengganu kami tidak ditemani oleh mana-mana pegawai daripada
Jabatan Perhilitan. Satu-satunya orang yang boleh membawa kami ke hutan ialah
Pak Hassan, seorang peneroka hutan di Hulu Terengganu. Beliau banyak terlibat
dengan kerabat diraja itu untuk memburu binatang liar di sana.
Pada hari berikutnya pencarian kami pun bermula. Pak Hassan
membawa kami meredah hutan di Hulu Terengganu yang terletak berhampiran dengan
Hutan Lipur Sekayu. Ekspedisi di Hulu Terengganu ini amat meletihkan kami
kerana selain meredah hutan tebal kami juga terpaksa mendaki bukit-bukau yang
jarang dimasuki oleh manusia selain daripada musim memburu binatang yang
dibenarkan oleh Jabatan Perhilitan. Cuma pada kali ini keberanian kami agak
terserlah berikutan dengan langkah Pak Hassan membawa senapang patahnya pada
setiap kali kami keluar meredah hutan. Apabila ditanya untuk apa dia membawa
senapang, Pak Hassan cuma menyatakan bahawa itu sebagai persediaan kalau-kalau
ada pelanduk liar yang boleh dijadikan lauk.
Setelah memasuki hari ketiga kami di situ, kehampaan masih
menjadi pengunjung setia kami setiap kali senja menjelang. Kami juga terpaksa
berulang-alik ke rumah Pak Hassan dari hotel penginapan kami di Kuala
Terengganu kerana tiada resort atau rumah rehat di sekitar kawasan berhampiran.
Pekan yang paling dekat dengan lokasi itu ialah Kuala Berang. Setiap hari kami
hanya berbekalkan roti dan air mineral untuk mengisi perut sepanjang hari
berada di hutan. Hanya sedikit semangat untuk membuktikan kemampuan kami dan
juga kesetiaan kami kepada tugas yang diamanahkan sahaja yang mampu menahan
kami untuk terus berada di sana. Pada hari ketiga itu juga kami sudah mula
mengenali Pak Hassan dengan lebih dekat. Pak Hassan seorang insan kerdil yang
berhati waja kerana sanggup meninggalkan kampung halamannya di Pasir Putih,
Kelantan semata-mata untuk meneroka tanah hutan dan memulakan kehidupan barunya
di situ. Titisan susu getah dan hasil jualan buahbuahan dari dusunnya adalah
sumber pendapatan utamanya sepanjang dia bermastautin di situ. Makan minumnya bersama
isteri tersayang cuma ala kadar sahaja; nasi berlaukkan ikan kering dan
ulam-ulaman yang dicicah dengan budu. Apabila melihat semangat dan harapan kami kian luntur, Pak Hassan memberi
harapan baru dengan meyakinkan kami bahawa hutan yang kami terokai itu ada
mengandungi banyak pelanduk. Untuk itu dia memberi harapan bahawa esok, iaitu
hari keempat kami bersamanya, adalah hari terakhir untuk kami mencari pelanduk.
Jika gagal kami akan pulang ke USM dengan tangan kosong. Ini bermakna kami juga
akan gagal membuktikan kepada USM dan orang ramai bahawa pelanduk sememangnya
boleh menari!
Pada awal pagi keempat itu, dengan dipayungi mendung yang
berarak lalu, kami melangkah longlai ke pinggir hutan untuk melaksanakan misi
terakhir kami di Hulu Terengganu. Tanah masih basah setelah hujan turun pada
awal pagi itu. Apabila melihat keadaan persekitaran dan cuaca pada pagi itu
kami mula membuat kesimpulan bahawa usaha kali ini juga akan berkahir dengan
kegagalan. Ketika itu juga telah terbayang di benak saya kehampaan Dr. Abdul
Rahim dan Dr. Eddy Tan yang menanti kami di USM.
Ketika melalui satu kawasan alur sungai yang kecil, kami terserempak dengan apa yang sering menghantui benak kami selama ini. Di atas mendapan selut yang masih basah itu kami menyaksikan kesan-kesan tapak kaki Sang Belang yang masih baru. Apabila diajukan pertanyaan mengenai berapa besar saiz pemilik kesan tapak itu Pak Hassan dengan selamba menjawab bahawa harimau itu tidak berapa besar sangat, cuma sebesar anak lembunya yang sering ditambat di dalam dusun durian di belakang rumahnya. Namun begitu ingatan tentang harimau itu hilang dengan tiba-tiba apabila hujan lebat beserta angin ribut mula melanda kawasan itu. Kami terpaksa mencari perlindungan kerana kamera video yang kami bawa perlu dilindungi daripada air hujan. Ketika tiba di puncak bukit, jam menunjukkan pukul 10.00 pagi. Hujan baru sahaja teduh.
Kami mula
membuat jerumun (tempat persembunyian) dan Pak Hassan mula memalu gendang
pelanduknya yang dibuat daripada tiga helai daun kayu. Setelah hampir sejam
bergendang, kami menerima kehadiran seekor burung kuang liar yang cantik.
Menurut Pak Hassan, burung kuang itu adalah burung jantan yang memberi respon
kepada gendangnya. Ketika lalu kira kira tiga meter jaraknya dari jerumun kami,
burung kuang itu mengembangkan ekornya yang hampir menyamai kecantikan warna
ekor burung merak jantan. Menurut Pak Hassan, ada kalanya harimau pun turut
muncul untuk membaham pelanduk yang keluar hasil bunyi gendang itu. Ketika
mendengarkan itu hati kami kecut bagai daun muda disimbahi terik mentari.
Selepas beberapa ketika, kami beralih tempat ke kawasan
lain. Dalam usaha kami mencari lokasi yang sesuai itu, kami terserempak dengan
sekawan enam ekor ayam hutan yang sedang berlaga sesama sendiri kerana hendak
mengawan. Kami merasa begitu takjub dengan kecantikan warna bulu binatang liar
tersebut yang tidak pernah kami saksikan. Namun begitu, kami meneruskan usaha
kami membina jerumun di kawasan berhampiran. Jam telah menunjukkan hampir pukul
1.00 tengahari. Sebaik sahaja siap membina jerumun, kami melalui saat-saat
bertenang untuk beberapa ketika untuk melahirkan suasana hutan yang semulajadi.
Kemudian Pak Hassan, dengan sedikit jampi serapahnya, mula memukul gendang.
Saya perhatikan bahawa langkah Pak Hassan kali ini agak berbeza daripada
sebelumnya kerana dia tidak pernah memulakan tugasnya dengan jampi sebegitu.
Namun semua itu tidak kami hiraukan. Kamera video yang terdiri daripada jenis
Sony M3CCD dan Sony Hi8 itu sedang bersedia untuk merakam apa sahaja yang bakal
muncul.
Setelah hampir sejam memalu gendang, Pak Hassan mula memberi
isyarat kepada kami bahawa seekor pelanduk telah muncul. Kami tercari-cari
posisinya untuk dirakam. Ketika melihat seekor pelanduk sedang melangkah
perlahan ke arah jerumun kami, sebagai respon kepada gendang Pak Hassan, bulu
roma saya mula meremang. Hati saya mengatakan bahawa ini adalah satu keajaiban
alam semulajadi. Pertama kali dalam seumur hidup saya melihat pelanduk liar
muncul di depan mata. Bunyi gendang Pak Hassan terus membelah keheningan hutan
ketika itu. Nafas kami bagai tertahan, takut dikesan oleh haiwan liar yang
tentunya mempunyai deria yang sensitif itu.
Ketika berada kira-kira lima meter daripada jerumun kami, pelanduk itu mula menunjukkan kepada kami keunikan sebenar dirinya yang hanya pernah disebut dalam cerita-cerita metos dan cerita-cerita dongeng rakyat yang pernah saya baca semasa di bangku sekolah. Ia mula menari! Tariannya tidaklah terlalu kompleks. Ia hanya mengangkat kaki belakang dan depannya bersilih ganti, seiring dengan rentak gendang yang dipalu. Aksi itu tidaklah sepertimana yang diceritakan dalam cerita-cerita rakyat, namun semua itu sudah cukup bagi kami membuktikan bahawa antara sains dan resam semulajadi hidupan di muka bumi ini mempunyai suatu perkaitan yang amat erat. Kami tidak membuktikannya dengan bantuan animasi atau kesan khas yang menerajui dunia filem dan penyiaran Barat pada masa kini. Sebaliknya, kami membuktikannya dengan bantuan kepakaran manusia yang mengekploitasi kejadian alam di lokasi semulajadinya. Ia berlaku di tanah air kita sendiri!
Ketika berada kira-kira lima meter daripada jerumun kami, pelanduk itu mula menunjukkan kepada kami keunikan sebenar dirinya yang hanya pernah disebut dalam cerita-cerita metos dan cerita-cerita dongeng rakyat yang pernah saya baca semasa di bangku sekolah. Ia mula menari! Tariannya tidaklah terlalu kompleks. Ia hanya mengangkat kaki belakang dan depannya bersilih ganti, seiring dengan rentak gendang yang dipalu. Aksi itu tidaklah sepertimana yang diceritakan dalam cerita-cerita rakyat, namun semua itu sudah cukup bagi kami membuktikan bahawa antara sains dan resam semulajadi hidupan di muka bumi ini mempunyai suatu perkaitan yang amat erat. Kami tidak membuktikannya dengan bantuan animasi atau kesan khas yang menerajui dunia filem dan penyiaran Barat pada masa kini. Sebaliknya, kami membuktikannya dengan bantuan kepakaran manusia yang mengekploitasi kejadian alam di lokasi semulajadinya. Ia berlaku di tanah air kita sendiri!
Hasil penerbitan video dokumentari itu telah diadun dengan
rentetan sejarah pahit dan manis bagi saya dan krewkrew terbabit. Pada
penghujung tahun 1993, video dokumentari itu telah ditayangkan untuk tontonan
Naib Canselor USM pada masa itu, Datuk Musa Mohamad (sekarang Tan Sri) dan
ahli-ahli majlis universiti. Video tersebut yang diberi tajuk Pelanduk masih
tersimpan dalam khazanah USM, terutamanya di Bahagian Media, Perpustakaan Utama
I (nombor panggilan QL737.U55.P381) atau di arkib PTPM (nombor panggilan
QL737.U55.P381 ptpm). Pengalaman daripada penghasilannya telah mematangkan saya
dan seterusnya membangkitkan kesedaran diri bahawa sesuatu yang mustahil itu
akan tetap menjadi mustahil sehingga kita membuktikan sebaliknya.
Sebagai buktinya: pelanduk telah menari di USM!
No comments:
Post a Comment