1.0 PENGENALAN.
Sejak
zaman 1970-an lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pembaharuan
dalam aspek kurikulum. Dalam hal ini, gurulah yang bertindak sebagai agen
perubahan untuk menjana transformasi pendidikan negara demi melahirkan modal
insan yang mampu berdaya saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi
Wawasan 2020 yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan
Malaysia sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.
Kurikulum
Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Bertitik tolak daripada pelaksanaan KLSR tersebut, sistem pendidikan negara
sering mengalami perubahan mengikut situasi semasa. Antara penambahbaikan yang
telah dilaksanakan ialah dengan memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada
tahun 1989.
Namun begitu, KBSR telah disemak semula pada
tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala, terbaharu KBSR (semakan) telah digubal
semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras
kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pembaharuan kurikulum yang
dilakukan ini boleh dikatakan sebagai satu inovasi kurikulum yang utama atau
reformasi yang menyeluruh.
Sejajar
dengan perkembangan dunia teknologi maklumat serta perubahan dan cabaran alaf
ke-21, sistem Pendidikan Kebangsaan sentiasa diperkemas dan dibuat
penambahbaikan dari masa ke masa. Proses yang dinamik dan berterusan dilaksanakan
dalam pembangunan kurikulum ini bermatlamat untuk memperkukuhkan sistem
pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik,
menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada
para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta
melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun
agama.
1.0 KONSEP
2.1 Konsep Transformasi
Definisi
transformasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) membawa maksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan
keadaan atau dengan erti kata lain transformasi merupakan satu perubahan
daripada keadaan sedia ada kepada satu dimensi lain bertujuan untuk mengubah
bentuk sesuatu kepada yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian
(Artikel Pendidikan: Utusan Malaysia). Ringkasnya, transformasi juga lebih mudah
difahami sebagai satu bentuk perubahan ke arah kebaikan.
Terdapat
pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh tokoh yang berkait rapat dengan istilah
transformasi atau perubahan. Istilah perubahan menurut Stoner (1989) di dalam Aini
Hayati Mohamed (2001) mentakrifkan perubahan sebagai proses transformasi yang
berlaku kepada organisasi sama ada dirancang ataupun tidak. Manakala menurut
Jaafar Muhammad (1999) perubahan diperkenalkan hasil daripada pengubahsuaian
kelakuan yang lepas menyesuaikan dengan situasi baru.
Antara pendapat lain berkenaan
transformasi ialah sebagaimana yang dikemukakan oleh Mumtaz Began dan
rakan-rakan (2002) yang melihat perubahan sebagai suatu bentuk peralihan
daripada satu dimensi yang dapat diramalkan kepada dimensi yang lebih baik atau
lebih sesuai dengan persekitaran sesuatu masyarakat. Perubahan yang berlaku ini
juga mungkin merangkumi pelbagai aspek penting.
2.2
Konsep Kurikulum
Kurikulum pada dasarnya berasal daripada
perkataan curere yang merupakan
perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum
dalam bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan
kurikulum sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah,
senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah dan institusi
pendidikan.
Terdapat
pelbagai definisi terhadap istilah kurikulum yang dinyatakan oleh pakar-pakar
dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu pengalaman.
Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan (2004)
kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak
sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran
yang telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing.
Menurut pendapat
Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di
dalam dan di luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik
darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum
sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai
program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas serta
kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman
individu ataupun berkumpulan.
Kurikulum juga turut
dinyatakan sebagai pelajaran yang formal dan pelajaran yang tidak formal oleh
Hargreaves dalam Hansen et al. (2002). Pelajaran formal merangkumi kurikulum
yang telah ditetapkan matlamat serta rancangan oleh kementerian, kurikulum yang
dilaksanakan (berkaitan dengan cara bagaimana guru menterjemahkan kurikulum
yang dihasratkan kepada amalan, aktiviti dan susunan) dan kurikulum yang
tercapai atau yang diterima, yakni apa yang pelajar sebenarnya capai melalui
pengalaman pendidikan. Manakala pelajaran yang tidak formal merujuk kepada
kurikulum terpendam yakni pendidikan secara tidak langsung yang berlaku apabila
belajar mengenai kuasa, pujian dan manusia.
Rumusannya, tafsiran
kurikulum merangkumi skop yang sangat luas berdasarkan kepelbagaian definisi
yang telah dinyatakan. Kurikulum merangkumi kesemua aspek pengalaman pembelajaran
yang diperolehi oleh murid secara formal atau tidak formal dan memberi kesan
terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek setiap murid.
2.0 ISU DAN
CABARAN UTAMA DALAM MEREALISASIKAN
TRANSFORMASI KURIKULUM PERSEKOLAHAN
Transformasi
dalam bidang kurikulum persekolahan sering menjadi polemik dan diberi perhatian
khusus oleh pentadbir pendidikan. Dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan
sentiasa merangka, merancang dan melakukan penambahbaikan sistem pendidikan di
Malaysia. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP,2006-2010) dan yang terkini Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Transformasi pendidikan ini bermatlamat
melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan
oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke 21 (Muhyidin 2013, dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).
Namun begitu, proses transformasi
ini bukanlah mudah kerana ianya melibatkan ramai pihak khususnya warga pendidik
di sekolah yang menjadi agen transformasi bagi setiap perubahan yang dirancang
oleh pihak pentadbir pendidikan. Justeru, terdapat pelbagai cabaran yang perlu
dihadapi dalam merealisasikan transformasi tersebut. Cabaran yang paling utama
dihadapi ialah dari aspek kesediaan guru dari segi sikap dan pemikiran mereka
untuk menerima dan melaksanakan transformasi dengan penuh dedikasi dan
kesungguhan. Sudah pastinya terdapat segelintir guru mempunyai pemikiran dan
sikap negatif terhadap transformasi ini. Hal ini sedikit sebanyak menyukarkan
dasar baru ini dijalankan kerana komitmen daripada guru-guru amat penting bagi
memastikan usaha-usaha ini dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Lebih
membimbangkan apabila terdapat juga percanggahan pendapat dan perdebatan
daripada sesetengah guru terutamanya mereka yang telah lama berkhidmat menolak
dasar ini dengan pelbagai alasan.
Oleh yang demikian, dalam menghadapi
cabaran tersebut seringkali wujudnya pelbagai isu berkaitan dengan proses
transformasi yang ingin dilakukan. Isu yang timbul ini adakalanya melibatkan
aspek kekangan masa, ruang, sikap guru dan sebagainya. Namun saya telah melihat
isu bebanan tugas guru sebagai satu isu utama yang menjadi topik perbualan
hangat dalam kalangan guru di sekolah apabila mereka dibebankan atau diberikan
pelbagai arahan yang perlu dilaksanakan di sekolah terutamanya dalam proses
transformasi kurikulum pada hari ini. Bebanan tugas guru ibarat isu yang tiada
kesudahannya. Walaupun ada segelintir pihak yang menyatakan bahawa gaji yang diperoleh
oleh guru adalah lumayan, kita perlu melihat dan menilai kerja yang
dilaksanakan itu adalah berbaloi atau tidak.
Sistem
pendidikan Malaysia yang berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan
digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks
pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan
melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Walaupun pada
hakikatnya keupayaan setiap sekolah adalah berbeza namun sistem yang digunakan
ini menyebabkan semua sekolah di Malaysia perlu akur dan mengikuti satu sistem,
prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan,
keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah tersebut untuk melaksanakan dasar
dan program pendidikan sendiri.
Sebagai
contohnya, Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
yang dilaksanakan pada tahun 2003 telah
menjadi satu dasar yang wajib dilaksanakan di sekolah. Guru tiada pilihan
melainkan datang menghadiri kursus yang dikelolakan selama tiga minggu atau
terpaksa mengajar subjek lain. Akhirnya guru yang mempunyai kemahiran
bertahun-tahun mengajar mata pelajaran tersebut tidak dapat melaksanakan
pengajaran tersebut kerana bermasalah dengan penguasaan bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, baharu saja
guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan
mereka berkenaan program tersebut,
akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu
Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI. Menurut akhbar
Utusan Malaysia bertajuk Perubahan MBMMBI atau kekal PPSMI oleh Tan Sri
Alimuddin (2011) menyatakan bahawa antara sebab pemansuhan PPSMI adalah kerana penguasaan
pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin merosot jika
dibandingkan semasa penggunaannya dalam bahasa Malaysia. Maka, sekali lagi
guru-guru yang terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak
masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam
pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
Sebagaimana
yang telah diketahui, kurikulum persekolahan mengalami perubahan bermula tahun
2011 apabila KBSR telah digantikan dengan KSSR. Kewujudan KSSR di sekolah ada
baik dan buruknya. Usaha transformasi ini dinggap baik kerana melalui KSSR
pihak KPM berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif,
kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi,
perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Namun
begitu, Menurut Shafizan Omar (2013) dalam artikel akhbar yang dikeluarkannya
menyatakan bahawa sebahagian kumpulan guru berdepan tekanan dalam melaksanakan
KSSR berikutan beban kerja yang bertambah, termasuk proses memfailkan laporan
KSSR yang menurut mereka, boleh mengurangkan masa untuk mereka bersama murid.
Dalam
masa yang sama, guru juga bertanggungjawab terhadap Sistem Analisis Peperiksaan
Sekolah (SAPS) yang disediakan oleh KPM yang berfungsi sebagai pusat pengumpul,
penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman setiap sekolah di seluruh
Malaysia. Guru mata pelajaran dan guru kelas perlu mengisi markah dan data-data
murid dalam peperiksaan melalui internet. Saya memetik keluhan daripada oleh Siti Roshayu, seorang guru mengenai
sistem ini. Beliau mengatakan bahawa, “sistem SAPS yang kononnya diselenggara
oleh pakar IT kementerian ini ibarat meletakkan batu seberat 10 TAN di kepala
kami sebagai warga pendidik”. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun transformasi
ini pada dasarnya berpotensi dalam membentuk satu sistem dalam talian yang akan
memberi pelbagai impak positif kepada seluruh masyarakat. Namun dalam masa yang
sama kelemahan yang terdapat dalam penyelenggaraan sistem ini menyebabkan guru
menghadapi beban tugas yang amat berat di luar keupayaan mereka.
4.0 GANGGUAN EMOSI PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI GURU
Rajah
1 : Kesan Terhadap Emosi Murid dan Guru
ISU : BEBANAN TUGAS GURU
|
Transformasi
yang ingin dilakukan dalam bidang pendidikan secara dasarnya memberi banyak
kebaikan terhadap perkembangan seluruh anggota masyarakat. Namun begitu,
hakikatnya para guru terpaksa memikul lambakan tugas yang semakin bertambah.
Keadaan ini memaksa guru untuk melakukan bidang tugas di luar keupayaan mereka.
Dengan itu, tangggungjawab dan tugas guru yang semakin mencabar telah
memberikan tekanan stres secara tidak langsung. Stres dalam kalangan guru
didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, tekanan serta
kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka.
Guru yang tidak dapat mengawal emosi
mereka terhadap perubahan budaya pendididikan akan mengalami stres. Tekanan
emosi yang dialami oleh guru ini sekiranya tidak dikawal akan memberikan kesan
terhadap persekitaran kerja mereka. Contohnya stress dalam kalangan guru
menyebabkan potensi berlakunya masalah
salah guna kuasa guru terhadap murid-murid. Terutamanya yang berlaku dalam
aspek hukuman yang boleh mengakibatkan penderaan. Hal ini seterusnya memberi
kesan terhadap emosi murid tersebut.
Seterusnya, bebanan kerja yang
dialami oleh guru akibat daripada perubahan dalam bidang pendidikan akan
menyebabkan berlakunya burn out. Burnout ialah satu fenomena atau sindrom di
mana seseorang individu akan mengalami tekanan emosi sehingga membawa kepada
tahap kelesuan, perubahan personaliti dan pencapaian kendiri akan menurun
dengan ketara. Dalam hal ini, seseorang guru dikatakan mudah untuk mengalami
fenomena burn out apabila merasakan mereka tidak berkemampuan lagi menanggung
beban emosi yang tidak stabil. Bebanan kerja yang banyak akan menyebabkan guru tidak
boleh memberi tumpuan kepada sebarang tugasan kerana kebosanan kerja yang tidak
mendatangkan kepuasan pada diri. Burn out bukan hanya memberi impak negatif
terhadap kesihatan diri guru malahan turut menyebabkan penurunan produktiviti
dan kerja guru sebagai pendidik.
Namun
begitu, peningkatan beban kerja guru ini bukan hanya menyebabkan tekanan emosi
dalam kalangan guru malahan turut menyebabkan gangguan emosi terhadap pelajar.
Gangguan emosi merupakan gangguan yang diterima oleh seseorang pelajar yang
menyebabkan emosi pelajar tersebut tidak stabil.
Antara
tanda awal gangguan emosi yang dialami oleh pelajar adalah kemerosotan
pencapaian akademik. Bebanan tugas yang perlu dipikul oleh guru menyebabkan
prestasi guru terjejas dan pengajaran dan pembelajaran juga tidak dapat
berjalan dengan sempurna. Sebagai contohnya, guru yang kadang kala terpaksa
meninggalkan kelas kerana harus menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak
sekolah secara langsung telah
menyebabkan pelajar kelasnya terabai. Lama-kelamaan jika perkara ini sering
dilakukan akan menyebabkan pelajar semakin malas dan tidak bersemangat untuk
belajar. Hal ini juga akan menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya
menyebabkan pencapaian akademik mereka mulai merosot. Pada ketika inilah
pelbagai pihak mula menuding jari dan meletakkan kesalahan terhadap kelemahan
guru yang gagal untuk mendidik pelajarnya walhal hakikatnya guru terpaksa
memikul pelbagai tanggungjawab sampingan yang lain.
Tanda
awal gangguan emosi murid yang kedua adalah hilang daya tumpuan di dalam kelas.
Murid yang mengalami gangguan emosi biasanya suka termenung, cepat marah, tidak
selesa berada di dalam kelas dan sering berasa cemas. Hal ini mungkin terjadi
disebabkan oleh kelakuan guru terhadap mereka. Contohnya, guru yang mengalami
tekanan untuk merealisasikan matlamat sekolah bagi memenuhi transformasi
pendidikan semasa berkemungkinan melepaskan tekanan tersebut kepada pelajar melalui
hukuman yang tidak sewajarnya semasa melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran. Tindakan sebegini bukan hanya menyebabkan pelajar tersebut
membenci kelakuan guru terbabit malahan akan menjejaskan emosinya untuk
belajar.
Seterusnya,
tanda awal gangguan emosi yang dialami pelajar juga dikesan apabila mereka
tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Hal ini mungkin berlaku kerana tiadanya
keseronokan dan semangat untuk menuntut ilmu. Sistem persekolahan sepatutnya
dapat memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang pula
oleh suasana guru yang semakin kurang berinteraksi dengan pelajar. Ini kerana
tugas mereka bukan hanya mengajar tetapi turut dibebani tugas lain antaranya
mengurus data, fail, buku rekod dan laporan, urusan pentadbiran, urusan
kurikulum dan kokurikulum serta hal ehwal murid bagi mencapai matlamat
transformasi pendidikan.
Selain
itu antara tanda awal lain yang menunjukkan bahawa seseorang pelajar tersebut
mengalami gangguan emosi adalah apabila pelajar tersebut menunjukkan konsep
kendiri yang lemah. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang lemah akan
sentiasa berasa tidak puas hati, tidak gembira, pasif dan mempunyai keyakinan
diri yang rendah. Kesan gangguan emosi yang dialami oleh murid ini mungkin
lahir kerana kurangnya perhatian yang diberikan oleh guru kepadanya semasa di
dalam kelas. Kesibukan guru kadang kala memaksa mereka untuk lebih memfokuskan
pada sesi pengajaran bagi menghabiskan
silibus mata pelajaran. Hal ini telah mengurangkan sesi interaksi antara guru
dan murid di dalam kelas.
Salam,kepada sesiapa yang lawati blog saya,sila tinggalkan komen anda.Thanks.
ReplyDeleteterima kasih. nota ini sangat membantu. :)
ReplyDeletemembantu sgt2,terima kasih
ReplyDeletemembantu sgt2,terima kasih
ReplyDelete