Tuesday, February 17, 2015

PATRIOTISME DI MALAYSIA


Konsep Patriotisme
Patriotisme merupakan satu perkara yang amat penting kepada rakyat semua negara. Ia bukan sekadar luahan perasaan tetapi menuntut kepada penghayatan oleh setiap warganegara. Patriotisme juga bukan sekadar semangat, tetapi ia merupakan sesuatu yang agung yang melibatkan soal keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan. Dalam konteks Malaysia, patriotisme perlu ada pada diri setiap rakyat. Semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya hanya timbul dalam perjuangan menuntut kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata.
Dalam keadaan aman umpamanya, semangat patriotisme seharusnya menjadi pendorong kepada setiap rakyat yang cintakan negaranya untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangun dan memajukan negaranya. Perbezaan dari segi ideologi, kaum, parti dan budaya dalam sesebuah negara berkenaan sepatutnya tidak dijadikan sebagai suatu halangan dan kekangan kepada usaha untuk memakmurkan negara. Semangat patriotisme penting kepada semua lapisan rakyat sesebuah negara. Tidak kira apapun pekerjaan mahupun jawatan, mereka perlulah mempunyai semangat kecintaan dan kasih sayang yang menebal ke atas negara mereka.
           H. Kohn melalui karyanya, The Idea of Nationalism (1944) mentakrifkan nasionalisme sebagai satu keadaan fikiran, yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa menyerap masuk dalam kalangan semua anggotannya; beliau mengiktiraf negara-negara sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi. Oleh itu, kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya. Pernyataan ini juga dapat disokong dengan pendapat Hamimah (2007) bahawa patriotisme dapat dilahirkan melalui sifat bangga menjadi  rakyat sesebuah negara. Hal ini diikuti dengan perasaan kekitaan, keupayaan dan perpaduan, keinginan untuk berbakti kepada negara akan wujud dalam kalangan warganegara sehingga mampu menimbulkan keyakinan mendalam rakyat kepada pemimpin, kepimpinan dan kemajuan negara.
           Menurut Raja Ruslan (2005), elemen-elemen patriotisme meliputi perasaan bangga terhadap negara iaitu merupakan perkara paling asas dalam memupuk semangat patriotisme, fakta sejarah yang amat berkait rapat dengan rasa bangga terhadap negara kerana keagungan sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan sejarahnya, jati diri, berterima kasih dan mengenang jasa, mempertahankan maruah bangsa dan kesetiaan kepada negara. Patriotisme sering kali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara.
           Semangat patriotisme kini menjadi lebih penting kepada negara Malaysia. Hal ini adalah kerana Malaysia didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik yang begitu ketara. Akibatnya jika rakyat negara ini meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti sebagai lebih utama daripada negara tentulah pembangunan dan kemajuan negara tidak akan dicapai. Oleh itu, dalam situasi masyarakat yang sebegini, keperluan terhadap semangat patriotisme dalam kalangan rakyat adalah begitu penting.
Semangat patriotisme ini akan menghalang rakyat Malaysia daripada bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum, agama mahupun ideologi parti yang berbeza dengan mereka. Dalam erti kata yang lain, mereka akan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada  kepentingan peribadi mahupun kaum masing-masing. Semangat patriotisme merupakan nadi kepada kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara. Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kepada kegoyahan kepada rakyat (Muhamad Ali, 2009). 
Patriotisme di Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri kerana kejayaan menguruskan masyarakatnya yang berbilang kaum. Sejak merdeka kerajaan Malaysia telah meletakkan perpaduan kaum sebagai matlamat utama negara. Ini disebabkan terdapat  yang perlu dilihat seperti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, masyarakat peribumi dan masyarakat yang berasal daripada kaum imigran, perpaduan kaum dan segala legasi penjajah. Elemen-elemen yang disebutkan itu adalah faktor yang dapat menentukan tahap patriotisme rakyat Malaysia. Sememangnya perpaduan antara kaum di Malaysia adalah teras kepada kelangsungan sesebuah negara itu, namun realitinya di Malaysia ketiga-tiga kaum majoritinya iaitu bangsa Melayu, Cina dan India mempunyai pandangan yang berbeza di Malaysia (Muhamad Ali, 2009). Namun begitu, seharusnya Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk sangat perlu kepada semangat patriotisme untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama. Malah, melalui semangat patriotisme, pembangunan dan kemakmuran negara dapat dilaksana dan dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.
          Berdasarkan penjelasan konsep patriotisme yang telah dibincangkan, dapat dinyatakan bahawa patriotisme ialah perasaan kasih, cinta dan sayang negara, bangsa dan agama tanpa perasaan prejudis terhadap semua bangsa berbilang kaum sama ada dari segi perbezaan agama ataupun ideologi yang berbeza. Nilai-nilai patriotisme seperti berbangga sebagai rakyat Malaysia, semangat setia kepada negara, semangat kekitaan, disiplin serta usaha berterusan untuk mencipta kemakmuran negara perlu ditanam dalam jiwa generasi muda kerana merupakan pewaris bangsa untuk memacu negara Malaysia ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.

Nilai Cinta Negaradalam karya A. Samad Said dan DharmawijayaAntologi Puisi Tanah Airku
Cinta kepada negara atau patriotisme terhadap negara bangsa amat dititiberatkan dalam usaha melahirkan warga yang berani, kuat semangat perjuangan dan sanggup berkorban untuk negara berasaskan kepada nilai-nilai murni seperti kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan terhadap ibu pertiwi, serta  kesungguhan dan  komited terhadap negara dan bangsanya sendiri. Hal ini sangat penting dalam mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen warganegara secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha-usaha ke arah pembangunan dan kecemerlangan negara demi kesejahteraan rakyat. Jelasnya, semangat patriotisme ini merupakan benteng dan elemen utama dalam proses untuk mengembangkan nilai-nilai yang lain seperti perpaduan, semangat kekitaan, hormat-menghormati dan kerjasama antara kaum yang terdapat di negara ini.

Pada dasarnya, kepenyairan penyair terutamanya bagi penyair yang hidup pada zaman sebelum atau semasa negara dalam keadaan terjajah atau ke arah kemerdekaan tanah air, sensitiviti penyair tentang semangat cinta akan tanah air dan sayang kepada negara sangat tinggi dalam jiwa mereka. Latar belakang kehidupan para penyair tersebut merupakan suatu pengalaman yang diluahkan melalui karya kreatif iaitu sajak. Antara sajak jenis patriotisme yang dapat dilihat dalam Antologi Puisi Tanah Airku ialah Generasi Yang Gagah.
Sajak Generasi Yang Gagah ialah karya A. Samad Said. Penyair telah memperlihat watak anak-anak generasi baharu yang dikelilingi dengan situasi dan pengalaman-pengalaman hidup yang diwarisi daripada generasi lampau. Segala peristiwa lampau yang membelenggu generasi terdahulu diharapkan tidak lagi berlaku pada zaman kini. Mereka akan sentiasa memelihara segala kenikmatan yang diperoleh dengan penuh kesetiaan dan kebanggaan. Nilai-nilai kebanggaan dan kecintaan terhadap bangsa dan negara dapat dilihat melalui bicaranya:

Anak-anak ini senyum ranum abad baru,
                        mata cergas enggan diganggu angin sedu,
                        kerana mereka adalah pencari yang berazam,
                        juga penemu dan pemelihara yang setia,
                        bangga mengibarkan bendera bangsanya.

 (Generasi Yang Gagah, A. Samad Said)
          Frasa “bangga mengibarkan bendera bangsanya” memperlihat semangat patriotik yang tinggi kerana bendera negara wajar ditegakkan dan sebagai warganegara yang mempunyai semangat jati diri akan sanggup mempertahankan negara daripada ancaman musuh yang cuba menghancurkan dan merosakkan kedaulatan negara.R. Suntharalingam (1985) menyatakan bahawa semangat nasionalisme ialah kesedaran keanggotaan dalam sesuatu bangsa yang mempunyai potensi atau kesungguhan untuk mencapai, mempertahan, dan mengabdikan jati diri kepada negaranya. Justeru, nasionalisme boleh dijelmakan melalui sosial, ekonomi dan politik yang seimbang dan toleransi. Generasi baharu harus sedar bahawa mereka mempunyai peranan yang besar dalam mempertahankan negara yang tercinta ini. Harapan kepada generasi yang akan mewarisi kehidupan di negara yang merdeka dan aman ini amat tinggi kerana perjuangan insan terdahulu dalam mengejar cita untuk sebuah kebebasan daripada penjajah. Elemen-elemen patriotisme meliputi perasaan bangga terhadap negara iaitu merupakan perkara paling asas dalam memupuk semangat patriotisme, fakta sejarah yang amat berkait rapat dengan rasa bangga terhadap negara kerana keagungan sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan sejarahnya Raja Ruslan (2005).
Seterusnya semangat kecintaan terhadap bangsa dan negara yang lain telah diabadikan oleh A. Samad Said dalam sajak “Pertama dan Terakhir”. Sajak ini telah dicipta oleh penyair dengan penggunaan  bahasa yang sangat puitis dan penuh dengan semangat. Kata-kata berunsur semangat kental dalam mempertahankan negara walaupun apa yang terjadi kepada diri, seperti ‘bernanah dada’ merupakan perluahan penyair yang amat serius untuk membayangkan betapa perlu adanya jati diri dalam setiap masyarakat yang hidup di negara ini.  Penyair telah menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar mempunyai ketabahan hati dan sentiasa rela berjuang dan berkorban demi kedaulatan bangsa dan negara yang disayangi sehingga akhir zaman. Penyair  telah  berbicara dalam nukilannya:
                        Kita bersua hati
                        mengisi setiap janji
                        pertama dan terakhir.
                        Tiada hari kiranya
                        hingga bernanah dada
                        sumpah tiada termungkir.

                        Kuat jantung berdetak
                        untuk berpaling tidak
                        biar di gelegak air.
                        Rela kita mengangkat
                        cita bangsa berdaulat
                        ke puncak murni berukir!
 (Pertama dan Terakhir, A. Samad Said)
Ungkapan “Rela kita mengangkat/cita bangsa berdaulat” merupakan kata-kata yang sangat patriotik sifatnya. Setiap warganegara dan golongan masyarakat perlu bertanggungjawab untuk menumpukan taat setia dan bersedia untuk mempertahankan tanah air demi mendaulatkan bangsa dan negara yang tercinta ini. Pemikiran yang menjurus kepada sifat berani demi mempertahan kedaulatan negara juga dapat dilihat melalui puisi ini. Penggunaan frasa “darah dan daging serentak/hingga ke saat akhir/” merupakan satu pernyataan yang merujuk kepada sifat keberanian untuk menempuh segala halangan dan halangan serta sanggup bertindak untuk mempertahankan negara tercinta ini.
Rangkap yang menggambarkan semangat keberanian yang jitu dengan penggunaan kata “Gemuruh kita bersorak/bumi dan langit retak/”. Penggunaan diksi yang bertepatan dengan maksud penyair untuk menaikkan semangat jiwa dapat  dilihat melalui:
                        Gemuruh kita bersorak
                        bumi dan langit retak
                        pertama dan terakhir.
                        Berani kita bergerak
                        darah dan daging serentak
                        hingga ke saat akhir.

(Pertama dan Terakhir, A. Samad Said)
             Dalam konteks nilai patriotisme ini, gambaran seperti dalam  ungkapan  “gemuruh kita bersorak” adalah merujuk kepada masyarakat Malaysia yang didiami oleh pelbagai kaum. Namun, pada dasarnya pernyataan tentang patriotisme itu, dapat dilihat melalui sifat kekitaan yang menjurus kepada perpaduan bangsa. Patriotisme itu dapat dizahirkan melalui sifat bangga menjadi sebahagian daripada masyarakat dalam sesebuah negara. Keupayaan untuk berbakti kepada negara secara bersama-sama mencerminkan rasa sayang terhadap negaranya (Hamimah, 2007).
Sajak-sajak A. Samad Said yang telah dibincangkan merupakan gambaran patriotik simbolik. Penggunaan ungkapan seperti “bendera bangsanya” dan “bendera tercarik”, “tenaga kersani” dan “ke puncak murni berukir!” merupakan kata-kata membangkitkan semangat betapa pentingnya warganegara memperjuangkan akan memartabatkan maruah bangsanya.
Cita bangsa yang wujud dalam diri setiap warga haruslah sentiasa kental dan tulus agar kedaulatan  negara dapat dipertahankan dengan tuntasnya terutamanya bagi memupuk semangat generasi muda. Unsur nilai patriotisme yang cuba diterapkan dalam puisi ini perlu dilihat secara mendalam dengan penghayatan menerusi bait-bait yang tersirat di dalamnya. Kesedaran tentang pentingnya semangat patriotik dengan merelakan diri untuk berkorban demi negara sememangnya harus ditanam dalam jiwa generasi muda ini. Setiap lapisan masyarakat terutama generasi muda perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan perlu berani bertindak demi kepentingan nusa dan bangsa. Abdul Ghani (2008) menyatakan bahawa warganegara yang berdisiplin amat diperlukan bagi sesebuah negara yang membangun agar negara dapat mencapai status negara maju mengikut acuan sendiri selaras dengan dasar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
          Menurut Raja Roslan (2005), elemen-elemen patriotisme meliputi perasaan bangga terhadap negara iaitu merupakan perkara paling asas dalam memupuk semangat patriotisme, fakta sejarah yang amat berkait dengan  rasa bangga terhadap negara kerana keagungan sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan sejarahnya, jati diri, berterima kasih dan mengenang jasa, mempertahankan maruah bangsa dan kesetiaan kepada negara. Patriotisme seringkali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri.
          Dalam sajak Sumpah Tanah Air karya Dharmawijaya, seorang penyair  terkenal negara telah mengungkapkan rasa cintanya terhadap tanah air. Penyair menyatakan tentang tanah air yang makmur dan aman untuk didiami oleh anak-anak bangsa dan generasi baharu selepas zaman kemerdekaan. Penyair seperti bersumpah” tentang kesetiaannya terhadap tanah air. Dalam sajak ini, penyair telah menegaskan bahawa anak-anak watan ini sanggup berjuang dengan cekal untuk membina kemakmuran yang hak”. Generasi baharu ini berhak untuk hidup dengan aman dan makmur kerana kemerdekaan tanah air adalah atas nama mereka sebagai warganegara. Penyair mengajak khalayak untuk menghayati detik-detik kemerdekaan tanah air dan seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang berlaku. Setiap warga harus berjanji untuk setia dan  memerangi petualang-petualang dan pengkhianat-pengkhianat negara yang sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menjejaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara seperti dalam rangkap berikut:
Musim demi musim kini
                       anak-anak yang kau lahirkan
                       bangun dari mimpi
                       mimpi kehidupan antara dua pengharapan,
                       kemakmuran yang hak
                       kemenangan yang mutlak
                       anak tercinta
                       di bumi merdeka.
(Sumpah Tanah Air, Dharmawijaya)
Melalui sajak “Sumpah Tanah Air” ini, persoalan tentang kemerdekaan masih dirasai dengan penghayatan yang penuh dramatik dan kepiluan oleh pihak-pihak yang melalui zaman prakemerdekaan ataupun yang melaluinya ketika  zaman awal kemerdekaan tanah air. Penceritaan yang dibawa oleh penyair dalam bentuk sajak ini diharapkan dapat menjadi suatu pengajaran dan pedoman yang seharusnya diteladani dan dihayati oleh  generasi muda kini. Semangat yang jitu oleh pejuang-pejuang silam yang bersusah payah untuk menentang penjajah sama ada dengan menggunakan senjata mahupun perundingan menjadi kekuatan semangat untuk diserap ke dalam jiwa warganegara yang hidup selepas zaman kemerdekaan ini. Pada rangkap “setia relanya pantang dikhianati” digambarkan sebagai sumpah setia terhadap negara yang tercinta ini.
Generasi yang bertanggungjawab adalah generasi yang menjadikan kepentingan negaranya sebagai pedoman dan panduan dalam menelusuri jalur kehidupan mereka. Bagi memartabatkan bangsa dan negara maka setiap individu perlu berfikir dan bertindak secara rasional dalam mencari kekuatan demi mempertahankan maruah bangsa dan negara. Perjuangan untuk kemerdekaan tanah air perlu dijadikan unsur kepada jiwa kepahlawanan bagi generasi kini demi mempertahankan negara, di samping dapat mengingati sejarah kebangkitan rakyat terdahulu yang sanggup berjuang bermati-matian untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.
Dharmawijaya seterusnya  mengadaptasi  semangat kebangsaan dalam puisi Tanah Airku. Penyair mahukan golongan belia khususnya dan masyarakat amnya terus menyintai negara. Penyair turut menceritakan betapa pentingnya sekiranya dapat menjaga kemakmuran dan ketenteraman negara. Walaupun negara telah merdeka daripada belenggu penjajah, kesejahteraan hidup tidak akan dapat dicapai dengan mudah seperti pendapat Muhamad Ali (2009) yang menyatakan patriotisme itu merupakan tanggungjawab kepada negara yang melibatkan ketaatan dan pengorbanan. Ia juga merupakan satu fahaman yang berpendapat bahawa kesetiaan tertinggi setiap individu haruslah diserahkan kepada negara. Sumpah setia terhadap tanah air tercinta ini dapat dilihat melalui rangkap yang dinukil oleh penyair:
tanah airku
                        ini kunyanyikan lagu
setiarela yang padu
                        ke bumi jantungmu.
            telah melimpah sudah
citawaja dan keluhuran sumpah
dengan kasih wangi
                        di ini hati budi anak peribumi.                       
(Tanah Airku, Dharmawijaya)
Ungkapan “tanah airku”, “citawaja”, “keluhuran sumpah” dan “hati budi anak peribumi yang dibina oleh penyair memperlihatbetapa kuat dan sayangnya kepada negara tempat kelahirannya. Walau apa pun terjadi, penyair tetap setia pada negaranya sendiri, walau pun baik atau buruk, ia tetap negaranya. Begitulah taat setia dan kasihnya penyair terhadap tanah airnya. Semangat patriotik seperti yang diungkapkan penyair perlu ada dalam diri setiap warganegara terutama golongan muda.
Pada rangkap seterusnya penyair ingin menyedarkan pembaca agar terus bangun membina negara agar tidak terus menerus menjadi hamba seperti dalam ungkapan “ anak-anakmu telah lama menjadi kuda-pacu” yang memperlihatkan hidup di bawah penjajah, rakyatnya sentiasa hidup tertindas dengan mengikut sahaja suruhan tuannya. Sebab itu di tanah air ini, penyair mahukan seluruh rakyat bebas dan merdeka, mengangkat semula kegemilangan bangsa seperti yang diungkapnya “hidup berpawai bertanjak di mana-mana”. “Bertanjak” merupakan satu simbol kebangsaan yang meletakkan raja yang memerintah negara ini, berbeza dengan penjajah. Perluahan penyair ini dengan jelas dapat dilihat dalam rangkap berikut:
tanah airku
                                      dalam jatuh bangunmu
                                      anak-anakmu telah lama menjadi kuda-pacu
                                      maka sekali ini bersama restumu
                                      tanah airku
                                      ia akan hidup berpawai bertanjak di mana-mana
                                      ia  akan mati mengusung nisan yang bernama.
(Tanah Airku, Dharmawijaya)
           Berdasarkan sajak-sajak yang diketengahkan oleh Dharmawijaya ini ternyata penyair telah menyuarakan dengan lantang mengenai kecintaan yang mendalam terhadap tanah air dan sentiasa mengingatkan kepada generasi muda dan masyarakat agar terus mencintai negara ini dengan sepenuh jiwa dan raga. Walaupun sajak-sajak Dharmawijaya ini banyak menyentuh hal-hal pada zamannya, namun semangat cintakan negara sangat tinggi dalam dirinya. Perasaan cinta dan sayang kepada negara inilah yang patut dicontohi oleh setiap individu demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan bangsa yang berlainan warna kulit ini. Semangat cinta akan negara ini perlu diterap dari usia yang muda lagi kerana kehidupan remaja kini penuh dengan ‘penjajahan’ pada zaman globalisasi ini.
          Semangat perjuangan yang kental seharusnya menjadi ikutan golongan muda masa kini agar kedaulatan negara dapat dikekalkan buat selama-lamanya seperti mana yang diungkapkan oleh Hamka (1995), adapun negara yang masih dijajah, maka para pemudanya tampil ke medan pergerakan menuntut hak-hak tanah air, tidak mengenal jemu, tidak mengenal mundur, walaupun akan jatuh miskin dan melarat kerana dia tahu bahawa yang dituntutnya ialah perkara yang sah, yang diakui oleh seluruh manusia yang beradab. Dia belum hendak undur sebelum maksudnya tercapai. Dia sabar dan tawakal, tidak putus pengharapan”. Begitu seruan Hamka kepada anak muda, tidak akan mundur selagi haknya belum tercapai, terutamanya hak kemerdekaan.

Perbincangan

Berdasarkan analisis beberapa sajak yang bersangkutan dengan unsur nilai cinta negara atau patriotisme, dapat dilihat penyair telah menggunakan pelbagai bentuk penulisan. Ini dapat dilihat dalam 17 sajak pilihan yang mempunyai kaitan dengan nilai patriotismeyang terdapat dalam Antologi Puisi Tanah Airku. Dalam konteks  kajian ini,  dua sajakA. Samad Said dan Dharmawijaya difokuskan.
             Bagi bait-bait yang menunjukkkan seseorang individu yang menterjemahkan cinta kasihnya kepada negara melalui tindakan-tindakan yang memberikan impak positif kepada negaradapat dilihat melalui puisi  Generasi Yang Gagah  karya A. Samad Said yang mengandaikan generasi muda sebagai benteng yang kuat dalam mempertahankan maruah negara daripada diganggu oleh anasir luar. Pemikiran yang menjurus kepada sifat berani demi mempertahan kedaulatan negara juga dapat dilihat melalui sajak Pertama dan Terakhir yang juga karya A. Samad Said.
Dalam sajak Sumpah Tanah Air karya Dharmawijaya, seorang penyair  terkenal negara telah mengungkapkan rasa patriotiknya terhadap tanah air. Setiap warga harus berjanji untuk setia dan memerangi petualang-petualang dan pengkhianat-pengkhianat negara yang sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menjejaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara. Pernyataaan ini dapat dilihat melalui kata-kata tanah airku/ini kunyanyikan lagu/setiarela yang padu/ke bumi jantungmu”. Dalam kehidupan yang masyarakat yang berbilang kaum ini, seharusnya tiada pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak yang lain. Dengan semangat cinta kepada tanah air,seharusnya kemakmuran negara hendaklah dikecapi secara adil dan saksama untuk semua masyarakat di negara ini. Keseimbangan kehidupan amat diperlukan dalam kehidupan di negara ini bagi memastikan semua rakyat merasai kenikmatan dan kemewahan sama rata.
          Berdasarkan perbincangan ini, penemuan yang diperoleh melalui sajak-sajak yang berkaitan dengan nilai patriotisme ini, jelas terpancar nilai-nilai yang berunsur kepada cinta, sayang dan semangat nasionalis penyair serta gambaran citra kehidupan masyarakat untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh luar. Kepentingan kepada tanah air merupakan suatu perkara yang lebih penting berbanding daripada kepentingan diri. Pembangunan negara juga menjadi pokok kepada semangat patriotisme terhadap negara dengan berusaha untuk memajukan ekonomi negara melalui sumber-sumber alam yang diperoleh di negara ini. Seterusya, keindahan alam yang telah dianugerahkan Tuhan di tanah air ini juga perlu dipelihara dengan sebaiknya kerana ia merupakan warisan alam yang akan dinikmati dan diwarisi untuk generasi akan datang.

Penutup
Secara jelasnya, semua sajak yang dipersembahkan oleh A. Samad Said dan Dharmawijayadalam  Antologi Puisi Tanah Airku, boleh mengangkat elemen dan isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme atau cinta kepada negara dalam menterjemahkan buah fikiran menerusi sajak-sajak ciptaan masing-masing. Kandungan dalam sajak yang dicipta merupakan pengalaman dan gambaran penyair ketika zaman kehidupannya yang penuh dengan rintangan dan dugaan dalam mengecapi erti kemerdekaan dan kebebasan. Penghayatan yang mendalam oleh khalayak menerusi sajak-sajak ini dapat dijadikan panduan dan pengajaran agar negara perlu dicinta dan disayangi agar unsur-unsur patriotisme dapat diterapkan dalam masyarakat Malaysia bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab, bersemangat kekitaan, berdisiplin, berusaha dan produktif ke arah mencapai matlamat dan aspirasi negara.

Bibliografi

Abd. Rahim Abd. Rashid. 2001. Perubahan Paradigma Nilai ke arah Transformasi Sosial dan Pembentukan Malaysia Baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Ghani Abu 2008. Patriotisme dan Aspirasi Remaja dalam  Dewan Siswa. Ogos hlm 10 -11. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
HamimahHj. Suhaibo. 2007. Pemupukan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah Tingkatan Satu. Tesis Dr. Falsafah, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Hamka. 1995. Falsafah Hidup. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Hassan Langgulung. 1990. Menghadapi Abad Kedua Puluh Satu. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaaan Malaysia.
Kohn, H. 1994. The Ideas of Nationalism. Toronto: Ideal Book.
Muhamad Ali Embi. 2009. Patriotisme dan Kepercayaan Rakyat di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mumtaz Begam Abdul Kadir, Mohammed Sani Ibrahim. 2009. Integriti Peningkatan Kualiti Organisasi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Raja Ruslan Raja Samah. 2005.”Patriotisme Belia Malaysia”,dlm Hussain Mohamad. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).Saleh Faghirzadeh. 2008. Sosiologi Sosiologi. Kuala Lumpur: Attin Press Sdn. Bhd.
Suntharalingam R. 1985. Konsep nasionalisme ke Arah Satu Takrif. Dalam Suntharalingam R. & Abdul Rahman Hj. Ismail (pngr.) Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Zalila Sharif, HasniAbas. 2005. Antologi Puisi Tanah Airku Penghayatan Sastera dan Budaya Program Latihan Khidmat Negara. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

1 comment:

  1. Casino Restaurants Near Me - MapYRO
    Find casinos 서산 출장안마 and other gaming near you from 40 miles to 50 miles 양산 출장안마 an hour and 25 minutes. MapYRO users can easily locate casinos, find locations, 익산 출장마사지 and 김천 출장마사지 contact the 김천 출장마사지

    ReplyDelete