Friday, December 20, 2013

Hutan Dan Temuan Sukar Dipisahkan.



Hutan dan Temuan Tidak Boleh Dipisahkan.

Ketika pertama kali memasuki kawasan Desa Temuan,keadaan fizikalnya hampir tiada bezanya dengan kawasan perumahan yang  lain.

Melihat saiz rumah yang agak besar membuatkan hati terdetik betapa beruntungnya Orang Asli di sini apabila mendapat aset berupa rumah percuma walaupun tidak pernah meminta.

Apa yang dapat dikata, ‘Tuah ayam nampak di kaki’, tuah Orang Asli dapat dilihat apabila mereka dihantar ke lokasi baru yang lebih selesa dan sempurna,serta lengkap dengan pelbagai kemudahan.Ada elektrik,air,balairaya,jalan raya dan sebagainya.

Namun di sebalik keharmonian dan kesempurnaan Desa Temuan rupa-rupanya wujud berbagai kisah di sebalik ‘kesempurnaan’ ini.





                    
Seorang penduduk Orang Asli Desa Temuan masuk semula ke hutan untuk menangkap ikan.


Tidak keterlaluan jika dikatakan Desa Temuan menjadi sebuah kisah klasik negara apabila kerajaan dan pemaju cuba mencipta kemodenan untuk manusia yang langsung tidak pernah terfikir tentangnya.

Secara amnya, penduduk kawasan tersebut terbahagi kepada tiga golongan iaitu Orang Asli yang lahir dan membesar di Bukit Lanjan, golongan muda Orang Asli yang pernah merasa kehidupan hutan sebelum dipindahkan dan kanak-kanak Orang Asli yang barangkali tidak tahu wujudnya kehidupan hutan seperti yang pernah dirasai ibu bapa dan nenek moyang mereka sebelum ini.

     Bagi golongan muda dan kanak-kanak, tidak hairanlah jika rutin harian mereka hampir sama dengan masyarakat lain biasa.

Mereka ke sekolah, bergaul bersama rakan dan nampaknya sedikit demi sedikit belajar tentang kehidupan serta mencari hiburan luar jika ada kelapangan.

Pun begitu, darah Orang Asli yang mengalir dalam tubuh membuatkan mereka seakan-akan tidak boleh dipisahkan dengan aktiviti lasak serta mencabar.

Buktinya, kanak-kanak di kawasan perumahan itu begitu mahir memanjat pokok walaupun tidak lagi tinggal di dalam hutan sedangkan ibu bapa mereka tidak pernah mengajar selok-belok bergayut di dahan pokok.


Berkaki ayam





 
                                                                          




Kelihatan kanak-kanak Orang Asli menjadikan pokok di halaman rumah mereka di Desa Temuan sebagai tempat bermain.

Di tengah terik mentari pula, sesetengah mereka masih mampu ‘berkaki ayam’ di atas tar.

Namun, masalah timbul apabila sukar bagi kebanyakan ibu bapa mereka mengadaptasi kehidupan ‘moden’ sementelah kemajuan bukan matlamat.

Orang Asli payah mengubah gaya hidup dengan memberi alasan; mereka tidak boleh dipisahkan dengan hutan dan alam semula jadi.

Timbul rasa simpati apabila majoriti penduduk mengeluh hutan yang ditarah untuk tujuan pembangunan membuatkan mereka hilang sumber rezeki.

Walaupun kini tinggal di rumah besar, mereka yang selama ini bergantung hidup dengan hasil hutan terpaksa mencari alternatif lain bagi menyara keluarga.

Mereka yang tiada kelulusan atau kemahiran selain menyumpit, bercucuk tanam dan memburu sukar diterima bekerja, malah makan gaji adalah pekerjaan yang begitu asing bagi mereka.

       Kesudahannya, golongan itu terpaksa mencari sisa-sisa tanah yang tertinggal dan hutan berdekatan untuk bercucuk tanam bagi mencari rezeki,bagi menyara kehidupan keluarga mereka!

Menyedari tidak mungkin dapat berpatah balik, mereka terpaksa reda dan akur dengan perubahan waktu walaupun pendapatan yang diterima tidak ‘sekencang’ dan sebaik dahulu.Contonya mereka dulu adalah penjual rotan bermutu,kayu gaharu,petai dan pelbagai hasil hutan yang lain.

Mujur dalam masa yang sama terdapat juga generasi baru masyarakat Orang Asli yang diterima bekerja dan lebih membanggakan ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.Hasil tinjauan dan kajian saya ramai kaum ini telah berjaya memasukki Institut Perguruan Malaysia di seluruh negara.Guru daripada kalangan kaum ini diharapkan akan mudah dan dapat memperbaiki mutu pencapaian dan pendidikan kaum ini.

     Generasi inilah yang diharapkan dapat ‘membawa keluar’ serta menyuntik arus kemodenan pada ibu bapa mereka dari dunia sebenar Orang Asli yang berkurun lamanya kepada arus kehidupan yang moden serta serba maju.

Kini kaum Temuan sudah ramai yang celik IT (Informasi Teknologi) dan telah bekerja di pelbagai bidang di sektor swasta dan kerajaan.Pencapaian mereka sudah setaraf dengan kaum bumiputera yang lain.syabas diucapkan kepada mereka ini.Ingat andalah penggerak,pengubah dan pemangkin pembangunan serta kemajuan kaum Temuan anda.

No comments:

Post a Comment