Sunday, September 15, 2013

Jebak Puyuh Dan Keunikan Ciptaannya.

Keindahan seni ukir jebak puyuh

CHE Mud Che Awang sedang menyiapkan bumbung jebak yang ditempah oleh pelanggan baru-baru ini.

         Masa remaja yang sering dihabiskan dengan memerhatikan bapa saudaranya menyiapkan jebak puyuh, beransur menerapkan minat mendalam bagi Che Mud Che Awang, 76, dari Kampung Bunohan di sini untuk menguasai kemahiran itu.
Biarpun ia peralatan biasa, sekadar untuk dijadikan perangkap untuk menangkap puyuh yang boleh dibuat dengan mudah, bapa saudaranya, Ghonik Senik memilih untuk memberi nilai tambah yang tinggi kepada peralatan itu, biar pun terpaksa mengambil masa.
Ghonik menumpahkan kemahiran kreatifnya untuk menghasilkan jebak yang indah, memancarkan seni ukir yang melambangkan ketinggian tradisi pertukangan Melayu, sekali gus mengangkat nilainya di pasaran.

    "Pada masa itu orang tidak menternak puyuh. Namun burung itu mudah didapati tetapi tidak mudah untuk menangkapnya yang hidup liar.
''Jadi anak muda menjadikan hobi memikat burung terutama selepas musim menuai padi atau ketika banjir menenggelamkan semak-samun kerana keenakan dagingnya," ujar Che Mud.
Dia mewarisi sepenuhnya kemahiran itu, mungkin lebih baik dan di perkampungan tradisional itu yang tidak banyak berubah dari segi budaya masyarakatnya, permintaan sentiasa ada dan Che Mud meneruskannya.
Dia terus melakukan apa yang digemari selain meniup serunai, suatu lagi kemahiran yang membawanya bersama kumpulan wayang kulit ke beberapa negara bagi mengadakan persembahan termasuk Amerika Syarikat dan Perancis.
Sentuhan tangan dalam menghasilkan jebak puyuh melayakkannya menerima pengiktirafan oleh kerajaan selaku Adiguru Kraf Jebak Puyuh pada 1989 oleh pihak kerajaan.
Pengiktirafan seumpama itu difahamkan berasaskan ketokohan seseorang itu dari segi pengetahuan, kepakaran serta kemahiran tinggi dalam bidang pertukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa.

        Dia sedar tiada lagi yang setanding dengannya dalam mewarisi seni itu ketika banyak pihak mula memberi perhatian terhadap apa yang dilakukan dahulu sekadar untuk menambahkan rezeki.
"Kalau saya tak buat, siapa lagi nak buat. Payah nak membuatnya. Orang muda sekarang pun tak perlu jebak puyuh kerana siapa lagi ingin menangkap puyuh yang mudah dibeli di pasar-pasar.
''Ramai yang tidak lagi kenali jebak puyuh. Benda ini dilihat asing dan pelik tetapi bagi orang yang tahu menilai, harganya bukan lagi dikira," katanya ketika ditemui di bengkelnya berhampiran rumah yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Menurut Che Mud, jebak puyuh biasanya kecil sesuai dengan ukuran saiz puyuh namun saiznya kini berubah-ubah, disesuaikan dengan permintaan pembeli bagi hiasan kerana keunikannya.
Justeru, setiap jebak yang disiapkannya itu juga mampu mencapai harga sehingga RM1,000 sebuah yang berukuran luas pintunya 47 sm x 43 sm (lebar) x 45 sm (tinggi) manakala yang paling kecil 27 sm x 26 sm x 30 sm berharga RM150.
Dia menyiapkan sekurang-kurang dua buah jebak sebulan secara sambilan iaitu selepas selesai kerja di sawah bagi memenuhi permintaan terutama para pencinta seni kraf dari dalam dan luar negara sebagai koleksi atau hiasan.
       Apa yang diketahuinya adalah koleksi terbanyak iaitu sepuluh buah kini berada di muzium di Langkawi.
Jebak berbentuk separuh bulatan dengan tapak yang rata, selain dilengkapi pintu kecil serta tempat menggantung jebak di mana terdapat tali jerat di dalamnya yang dilaraskan kepada pintu jebak.
Ia disiapkan dengan menggunakan bahan-bahan yang diperoleh dari sekitar kampung, iaitu papan dari kayu nangka, sentul dan jelutong untuk dijadikan tapak jebak dan ukiran di bahagian depan.
Bilah buluh dan atau rotan yang lazimnya digunakan untuk bentuk kerangka luarannya manakala serungkupnya menggunakan anyaman akar, batang ribu-ribu yang mudah didapati di kawasan belukar.
Pohon kecil yang tumbuh menjalar itu mempunyai keistimewaan iaitu tidak reput, sama ada jebak dibiarkan basah atau kering.

       Katanya, apabila siap kerangka, anyaman tulang belut dari batang jenis ribu-ribu besar perlu untuk dijadikan pemegang kepada anyaman yang memenuhi keseluruhan 'badan' jebak.
''Anyaman bercorak pucuk rebung dan siku keluang berselang-seli, mengggunakan batang ribu besar yang dipecah empat dan batang pokok ribu hitam dianyam di bahagian tepi tapak jebak," katanya.
Sebelum ribu-ribu dianyam, ia akan dipotong terlebih dulu di bahagian pangkal, seterusnya, rakis utama diambil terutama yang lurus atau menjalar.
Ribu-ribu itu kemudian dibelah dua dengan hujung ibu jari, kemudian dikeringkan dengan cara menyidai di tempat redup selama beberapa hari bagi memastikan ia tidak rapuh atau patah.
Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh atau mengkuang dan bagi mengukuhkan anyaman, buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka.
Bahagian kepala pintu jebak biasanya diukir dengan bentuk awan larat atau bunga kunyit dan sesetengahnya pula ukiran bunga mawar.

       Dia masih melakukannya secara tradisional dengan peralatan ringkas seperti gerudi, pemahat dan tukul kerana merasakan hasil lebih memuaskan hatinya.
Menurut Che Mud, sejak lima tahun kebelakangan, pada ingatannya dia telah menyiapkan lebih 200 buah jebak pelbagai ukuran tetapi '' tak tahu hala guano'( tak tahu pergi ke mana).
''Apabila siap sahaja pasti ada pelbagai jenis orang yang datang membelinya dan saya puas hati kerana mereka begitu tertarik, tak peduli soal harga," katanya.

      Katanya, kebiasaannya, terdapat puyuh denak di dalam jebak yang menjadi tarikan puyuh liar mendekati pintu jebak yang terbuka.
'Sebaik burung di luar masuk lalu terpijak jerat yang dipasang, secara 'automatik' pintu jebak itu tertutup dengan sendirinya. Hanya mereka benar sabar dan berminat yang boleh mendenak puyuh," ujarnya.

     Che Mud berkata, dia berpuas hati kerana setakat ini telah menurunkan kemahiran membuat jebak itu kepada lebih lima belia tempatan dan mereka berjaya menguasainya dalam tempoh antara tiga hingga lima bulan.
Bapa kepada empat orang anak itu menumpahkan kemahiran juga kepada dua anaknya iaitu Ibrahim, seorang tukang rumah dan anak bongsunya, Che Kalsom setelah mereka menunjukkan minat.


No comments:

Post a Comment