Monday, February 17, 2014

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu-Perkamusan

Pengenalan.
Perkamusan atau leksikografi hari ini semakin maju. Sekiranya kita melawat laman-laman internet yang berkaitan dengan perkamusan, kita akan menemui pelbagai maklumat berkenaan dengan ilmu perkamusan. Bahkan, penawaran kursus-kursus perkamusan juga boleh kita dapati dengan hanya merujuk kepada internet. Laman-laman web yang memuatkan maklumat tentang perkamusan tersebut bukan melibatkan bahasa Inggeris sahaja, beberapa laman web perkamusan bahasa lain seperti bahasa Belanda, Cina, Peranchis dan lain-lain juga boleh dilawati. Ini menunjukkan bahasa bidang perkamusan sudah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan penyelidik antarabangsa, dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkamusan bahasa Melayu tidak harus diabaikan begitu sahaja di kalangan para ilmuan Melayu.

Perkamusan Melayu juga telah melangkah jauh ke hadapan dalam memenuhi keperluan bidang ilmu yang pelbagai, dan telah menjadi wahana perkembangan bahasa Melayu dalam memenuhi cita-cita memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia. Kecanggihan teknologi terkini secara tidak langsung turut mempengaruhi dunia perkamusan Melayu. Haji A. Aziz Deraman (1994) dalam kata-kata aluan Seminar Perkamusan Melayu pernah mengatakan bahawa dalam konteks negara Malaysia, ilmu perkamusan boleh dikatakan masih muda. Justeru itu, sesuai dengan hasrat kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa maju yang mampu hidup berganding bersama-sama bahasa lain di dunia, kemasukan teknologi maklumat dalam dunia perkamusan tidak harus dipandang sepi.

Membicarakan tentang perkamusan, banyak perkara yang boleh dibincangkan. Perkamusan bukan sahaja bersangkut paut dengan kamus, bahkan merangkumi ruang lingkup yang sangat luas. Bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan kamus memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Kamus bukan sahaja mengungkap makna, bahkan berguna bagi menjelaskan kerumitan dalam bidang-bidang tertentu. Selain daripda bahasa, kamus juga berkaitan dengan bidang sains dan teknologi, begitu juga dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Boleh dikatakan semua bidang ilmu berhubung secara langsung dengan kamus. Ingin mengetahui makna tentang istilah undang-undang, orang akan merujuk kamus, ingin mengetahui makna tentang perubatan juga orang akan merujuk kepada kamus, (selain merujuk kepada doktor), ingin mengetahui tentang bahasa juga orang akan merujuk kamus, jadi kamus mempunyai tugas yang sangat besar, lebih-lebih lagi dalam era teknologi maklumat ini.
Kamus dan Perkamusan
Kamus ialah sebuah buku yang mengandungi senarai kata sesuatu bahasa yang dilengkapi dengan makna dan juga maklumat-maklumat ringkas tentang tatabahasa bahasa tersebut. Setiap kamus yang dihasilkan mempunyai sifat dan fungsi yang berbeza berdasarkan kepada sasaran pengguna kamus itu sendiri. Kamus Dewan mentafsirkan istilah kamus sebagai buku yang mengandungi kata-kata dan lain-lain (yang disusun mengikut abjad) dengan keterangan mengenai makna perkataan dan lain-lain)...
Perkamusan menurut Kamus Dewan ialah perihal (yang berkaitan dengan) kamus (penyusunannya, ilmu mengenainya, dan lain-lain).Maka secara umumnya perkamusan boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kerja-kerja penghasilan kamus dan bidang ilmu yang mengkaji tentang dunia perkamusan itu sendiri. Dua istilah yang sering digunakan ialah leksikografi dan leksikologi. Leksikografi ialah kerja-kerja yang dilakukan dalam proses menghasilkan kamus. Leksikologi pula ialah disiplin ilmu yang berkaitan secara langsung dengan penghasilan kamus, iaitu teori dan amalan yang digunakan sebagai panduan dalam menghasilkan kamus. Leksikologi pula mencakupi beberapa subbidang ilmu yang lain seperti fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik.
Perkamusan Melayu.
Perkamusan atau leksikografi bahasa Melayu bermula dalam bentuk senarai kata. Pada peringkat awal perkamusan Melayu hanya tertumpu dalam menghasilkan kamus-kamus dwibahasa. Kamus terawal yang ditemui ialah satu senarai kata Melayu-Cina yang dikumpulkan antara tahun 1403M-1511M. Beberapa senarai kata yang lain ialah senarai kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Antonio Pigafetta (1519M-1522M), senarai kata yang dihasilkan oleh Frederick de Houtmann (1603M) . Selepas itu terdapat beberapa buah kamus yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji Barat . Penghasilan kamus dalam bentuk dwibahasa ini dihasilkan dengan tujuan untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu bagi memudahkan urusan pentadbiran dan komunikasi antara para penjajah dan pedagang dengan masayarakat Melayu.
Perkamusan Melayu terus berkembang sehinggalah terhasil sebuah kamus ekabahasa bahasa Melayu, yang disusun oleh seorang ahli bahasa Melayu iaitu Raja Ali Haji, kamus tersebut diberi nama Kitab Pengetahuan Bahasa. Sesuai dengan tajuknya, kitab ini dihasilkan sebagai buku panduan kepada masyarakat Melayu untuk belajar dan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih teratur. Selepas Kitab Pengetahuan Bahasa dihasilkan, beberapa kamus Melayu lain turut menyusul, antaranya Kamus Mahmudiyah oleh Syed Mahmud Syed Abdul Kadir (1894), Kamus Melayu oleh Haji Shamsuddin bin Muhammad (1920), kamus dwibahasa Inggeris-Melayu atau Buku Katan P.B.M.P.B (juga dikenali sebagai Kamus Melayu) oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (1936).
Selepas tarikh-tarikh yang telah dibincangkan di atas kerja-kerja perkamusan Melayu diambil alih oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menghasilkan kamus-kamus Melayu lengkap dan bermutu tidak boleh dipertikaikan lagi. Setelah beberapa tahun mengendalikan kerja-kerja perkamusan, pada tahun 1970 Kamus Dewan Edisi Pertama telah diterbitkan. Kamus yang sangat diperlukan oleh masyarakat pengguna dan penutur bahasa Melayu itu telah menjadi rujukan dan panduan bagi seluruh pengguna bahasa Melayu. Kamus Dewan telah diulang cetak beberapa kali dalam beberapa siri edisi terbaru. Setiap cetakan yang terbaru akan dimuatkan konsep-konsep dan aspek-aspek terkini yang berlaku dalam bahasa Melayu.
Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghasilkan ratusan mungkin juga ribuan kamus yang digunakan oleh seluruh masyarakat pengguna bahasa Melayu. Begitu juga dengan kemasukan era teknologi maklumat, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama dari pihak-pihak lain yang berkenaan telah berjaya menghasilkan kamus elektronik dan multimedia untuk kemudahan pengguna-pengguna bahasa Melayu. Namun begitu beberapa perkara perlu dilihat dan dibincangkan mengenai kamus-kamus elektronik dan multimedia ini

Leksikologi bahasa Melayu bermula agak lewat daripada yang sepatutnya. Sehingga kini kita masih kekurangan ahli-ahli leksikologi yang boleh membantu dalam usaha penghasilan kamus. Perkamusan Melayu masih mencari-cari teori yang sesuai dalam kerja-kerja perkamusan yang dijalankan. Walau pun begitu, bahasa Melayu sudah mempunyai kamus-kamus yang lengkap dan bermutu untuk kegunaan masyarakat bahasanya. Sesuai dengan ledakan ilmu pada zaman teknologi maklumat ini, leksikologi Melayu juga tidak ketinggalan. Melihat kepada perkembangan leksikologi yang semakin maju, adalah perlu bagi bahasa Melayu mempertingkatkan lagi kajian dan penyelidikan dalam bidang ini bagi memenuhi kehendak zaman.

No comments:

Post a Comment