Tuesday, April 15, 2014

MATA PELAJARAN SEJARAH DAN PERANAN


Dalam pendidikan sekolah rendah memang tidak ada mata pelajaran sejarah atau subjek yang menyentuh mengenainya. Sukatan pelajaran sejarah bermula pada tahap menengah rendah iaitu pada Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima dengan penumpuan adalah kepada Sejarah Malaysia.

Penumpuan pengajaran sejarah tidak harus kepada sejarah negara saja. Ia tidak bererti kita mengetepikan kepentingan sejarah negara. Mata pelajaran sejarah harus diperluaskan kepada sejarah dunia. Pada peringkat awal, pelajar boleh diajar menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia.
Pelajar harus memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian itu dan sejarah dapat mengajar kita memahami kekayaan budaya yang wujud di dunia. Dengan wujudnya fenomena globalisasi dan semakin sempitnya dunia, maka, keperluan untuk mempelajari dan memahami sejarah dunia ini amat penting dalam membina insan yang menyeluruh.

Saya cadangkan diambil satu pendekatan bersepadu dengan merombak atau menggantikan mata pelajaran sivik dan kajian tempatan dalam kurikulum sekolah rendah sekarang dan digantikan dengan pengajian sosial. Pengajian sosial adalah satu subjek yang mengkaji masyarakat, termasuk sejarah, sivik, geografi dan ekonomi.
Pendekatan bersepadu ini mengintegrasikan pengetahuan sejarah dengan geografi, ekonomi dan sebagainya bertujuan menyediakan pelajar memahami komuniti dan masyarakat mereka, negara dan dunia yang mereka tinggal supaya mampu menjadi warga negara dan warga dunia yang bertanggungjawab di mana mereka dapat sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara dan dunia kerana kita kini tinggal dalam satu global village. Harus diingatkan bahawa komponen sejarah menjadi komponen utama di sini.
Pengajian sosial ini sudah lama diajar di Barat dan di kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah dan tadika bertujuan melahirkan warga negara prihatin dalam segala segi, peka akan kepentingan masyarakat, politik dan mempamerkan sifat/sikap menghormati kepentingan awam.

Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan mata pelajaran ini pada 2010 sesuai dengan Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah dan akan dimasukkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013. Apakah silibus sesuai dan usia pengenalan?

Sejarah sebenarnya mampu mengukuhkan proses pembelajaran asas pelajar. Sejarah membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, berkomunikasi dan sebagainya yang sememangnya tidak wujud dalam kurikulum pendidikan kita sehingga kita melahirkan pelajar robot yang hanya pandai menghafal fakta tetapi tidak boleh berkomunikasi dan berfikir dengan baik. Lebih teruk tiada keyakinan langsung untuk berhujah atau mempertahankan pegangan atau prinsip yang mereka perjuangkan.
Pada saya, usia terbaik diajar sejarah adalah pada usia lapan tahun tetapi pembelajaran perlu menarik dan menimbulkan minat mereka. Jika peringkat menengah baru hendak bermula, bermakna kita sudah terlewat. Pada saya, dalam usia remaja, sudah ada nilai yang terbentuk dan sebati dengan jiwa mereka, jadi sukar menanamkan minat terhadap sejarah.

Bagaimana mata pelajaran sejarah ini boleh membantu generasi muda memahami perjuangan dan pembangunan negara?
Sejarah menyediakan pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan teladan dan panduan hidup. Ini membina ciri kemanusiaan yang lebih cemerlang, menanam perasaan simpati dan empati supaya perjuangan tokoh awal dihargai dan dikenang dan kekal dalam kesedaran pelajar supaya dapat merujuk kepada nilai perjuangan insan yang murni menjadi ikutan dan teladan. Tokoh sejarah boleh dijadikan role model yang boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya.
Untuk mewujudkan pembuat polisi yang baik kita perlu melihat kepada pembentukan polisi yang awal, kebaikan dan kegagalannya, ini diperoleh daripada sejarah, belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya.
Contoh terbaru, formula Malaysia atau orang kata formula Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam menangani kegawatan ekonomi nampaknya diterima Amerika Syarikat, pada waktu ini. Ia bermakna mereka belajar daripada sejarah yang dibentuk Malaysia.
Adakah kita sudah terlewat dan perlukah mata pelajaran ini diwajibkan?
Masih tidak terlambat. Di mana-mana di dunia mata pelajaran sejarah adalah subjek yang penting. Tidak kira sama ada kita sudah lebih 200 atau 300 tahun merdeka.
Perlu diwajibkan, kalau tidak ramai yang tidak akan mengambil mata pelajaran sejarah kerana menganggap ia tidak penting. Ada yang dipengaruhi oleh ibu bapa yang buta sejarah dan tidak nampak kepentingan sejarah kerana semata-mata mengejar mata pelajaran yang boleh menjanjikan pulangan yang besar pada masa depan. Mata pelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sistem pendidikan serta mampu melahirkan pelajar yang holistik.

Apakah ketiadaan pengajaran sejarah selama ini memberikan kesan kepada generasi muda sekarang yang 'buta' sejarah?
Ya, saya bersetuju, sifat buta sejarah ini wujud kerana pertama, pengenalan pelajar kepada sejarah pada masa kini bermula pada usia agak lewat menyebabkan ramai pelajar tidak memahami apatah lagi menghargai sumbangan sejarah dalam hidup mereka.
Sudah tentu, dengan ini mereka tidak memahami atau menghargai sumbangan atau persefahaman yang diwujudkan oleh pemimpin terdahulu. Bagaimana wujudnya Malaysia sebagaimana adanya hari ini adalah hasil usaha pemimpin awal negara? Mereka tidak tahu untuk memahami perkembangan masa kini atau untuk melihat ke depan mereka harus belajar daripada sejarah.
Kedua, pendekatan sejarah oleh guru juga salah satu faktor yang menyumbang kepada ketiadaan minat pelajar mendalami atau menghargai sejarah.

Apakah cadangan Dr supaya keadaan ini dapat diperbetulkan?
Pertama, adalah satu cadangan yang baik mata pelajaran sejarah diperkenalkan kepada peringkat rendah tetapi sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, ia mengambil pendekatan bersepadu melalui subjek pengajian sosial.
Kedua, harus ada perubahan dalam pedagogi. Kaedah pengajaran yang lapuk dan tidak menarik menyebabkan pelajar bosan. Perspektif atau anggapan bahawa sejarah itu hanyalah satu subjek yang memerlukan seseorang itu menghafal fakta patut diubah. Pendekatan interaktif harus ditekankan.
Pelajar contohnya, ingin mengetahui dan mengalami dan menyelami peristiwa sejarah itu sendiri dan ia melahirkan emosi dan 'sense of attachment' kepada warisan dan legasi sejarah. Dengan itu, pendekatan pengajaran sejarah haruslah menarik, dengan melawat tempat bersejarah, penggunaan visual seperti gambar lama, kartun, simbol dan sebagainya amat penting dalam memupuk minat terhadap sejarah. Jika diperkenalkan pada tahap yang rendah, mata pelajaran sejarah ini harus menarik persembahannya.
Ketiga, pembinaan kurikulum yang menarik, efektif dan berkesan serta bersifat 'interdisciplinary' kepada pelajar sekolah rendah. Kurikulum yang terkini selari dengan tuntutan dan perkembangan semasa ini harus bersifat inklusif dan bukan eksklusif supaya sumbangan setiap individu, komuniti dan masyarakat pada peringkat negara dan dunia akan dihargai. Pembinaan kurikulum sejarah untuk sekolah rendah harus ada kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian, pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.
Keempat, penggunaan teknologi baru seperti ICT. Ini menjadi amalan sejarawan Barat dan bagaimana mereka mengintegrasi sejarah dengan alatan media seperti komputer, internet, pemain cakera padat (CD-ROM), video, kamera digital dan papan kenyataan interaktif serta blog.

Ilmu sejarah membina Negara


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan subjek Sejarah wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjelang 2013. Muhyiddin kemudian menekankan betapa pentingnya metodologi subjek ini melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini.

Langkah memperkenalkan lulus wajib subjek Sejarah ini bertujuan, pertamanya, memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia. Kedua, menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Akhir sekali memperkasakan legasi sejarah Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan perjuangan 1Malaysia.

Tindakan ini harus dipandang serius kerana, berbeza dengan masyarakat Barat contohnya, masyarakat Malaysia yang rata-rata buta sejarah sering meremehkan kepentingan ilmu sejarah dan jarang memberi penghormatan kepada para sejarawan yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara melalui usaha penyelidikan dan penulisan sejarah negara dan bangsa.

Usaha ini memerlukan pengorbanan masa serta kebijakan membuat intepretasi tanpa sebarang sifat prejudis, propaganda, dan stereotaip. Sejarah yang bernas ditulis berlandaskan fakta dan bukti serta intepretasi yang matang yang mengambil kira bukan sahaja konteks tempatan tetapi juga dunia.

Selain konteks satu lagi kriteria penting ilmu sejarah adalah periodisasi. Sejarah harus bermula dari awal ketamadunan manusia dan sekiranya boleh berakhir sehingga masa kini.

Langkah wajib lulus sejarah ini amat bertepatan pada waktunya terutama apabila perpaduan masyarakat Malaysia tercabar hasil perpecahan politik dan tuntutan atau tindakan melampau sesetengah pihak yang mula mempersoalkan keluhuran perlembagaan Malaysia.

Malah ada yang mula membuat interpretasi tersendiri tanpa merujuk sejarah perlembagaan itu sendiri.

Perlembagaan Malaysia merupakan satu-satunya 'kerangka asas' (fundamental framework) dan prinsip yang diperjuangkan oleh perlembagaan ini patut dijadikan panduan dan inspirasi. Maka bagi generasi muda memahami dan menghargai sejarah negara, mereka patut menghayati dan meluhurkan perlembagaan.

Jadi, pengajaran dan pembelajaran sejarah Malaysia sepatutnya mengandungi penghayatan perlembagaan sebagai satu asas dan landasan.

Pengajaran dan pembelajaran sejarah merupakan satu aspek pembinaan kenegaraan yang kritikal dan penting. Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini. Justeru, dari perspektif ini, ilmu sejarah yang disampaikan harus mengandungi 'naratif kepelbagaian' (plural narratives) yang mencerminkan corak latar belakang etnik, bahasa, dan budaya.

Langkah ini akan membawa kepada pemuliharaan keunikan politik, ekonomi dan sosio-budaya Malaysia terutama apabila ada pihak tertentu yang cuba menulis kembali dan memadam aspek-aspek penting dalam sejarah Malaysia bagi kepentingan peribadi atau politik masing-masing.

Memang bukan mudah untuk memastikan keseimbangan yang wajar dan memberikan ruang 'secukupnya' kepada semua pihak bagi mencerminkan kepelbagaian ini.

Walau bagaimanapun, sejarah sesebuah negara sudah tentu akan lebih mencerminkan masyarakat perdana walaupun penekanan kepada masyarakat minoriti harus juga diberi perhatian.

Lihat sahaja sejarah Amerika Syarikat umpamanya, sejarahnya lebih menjurus kepada masyarakat kulit putih yang datang dari negara Eropah terutamanya yang kemudiannya membentuk majoriti penduduk negara tersebut.

Tetapi perbincangan yang menjurus kepada sejarah golongan pribumi dan minoriti seperti masyarakat Amerika berketurunan Afrika, masyarakat hispanic atau Asia ada dibincangkan tetapi tidak sehingga mengatasi sejarah masyarakat perdana.

Tujuan ataupun objektif pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan hanya untuk mendalamkan pengetahuan generasi muda mengenai latar belakang dan profail negara malah untuk memupuk semangat patriotisme dan menyemarakan lagi sikap bertolak-ansur, toleransi, saling hormat-menghormati diantara kaum dan agama serta bahasa dan budaya.

Dengan kata lain, ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan menanam suatu identiti nasional atau kebangsaan yang meliputi aspek kewarganegaraan dan sekali gus keturunan di mana kedua-dua aspek ini tidak sama sekali bercanggah.

Pembinaan dan pembangunan negara bergantung kepada usaha bersepadu rakyat pelbagai yang mempunyai warisan sejarah dan masa depan bersama (shared past and shared future). Maka, pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan semata-mata mengetahui atau menghafal sedikit sebanyak detik-detik dan peristiwa lampau.

Imbasan (reflections) sebegini tidak memanfaatkan pelajar dan masyarakat amnya. Yang paling penting adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman pelajar sekaligus memupuk nilai-nilai bersama (common values) dan identiti bersama (shared identity) yang menjadi panduan, iktibar dan pegangan bagi memacu halatuju negara.

Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Usaha sebegini dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama menghayati dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan.

Sekiranya penambahan subjek Sejarah dalam kurikulum sekolah rendah dianggap membebankan, maka kita boleh melihat contoh dan amalan negara Barat dalam menghayati ilmu sejarah.

Ilmu sejarah digabung dengan pelbagai bidang ilmu lain seperti sivik, kewarganegaraan, geografi, ekonomi dan lain-lain dalam satu bidang yang dikenali sebagai pengajian sosial atau mungkin lebih sesuai dinamakan pengajian kemanusiaan. Ini selari dengan tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang menganjurkan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah.

Gabungan pelbagai disiplin ilmu ini atau pendekatan multidisciplinary ini merupakan satu metodologi pendidikan yang semakin dititikberatkan oleh institusi pendidikan kebelakangan ini.

Pendekatan multidisciplinary dengan ilmu sejarah sebagai komponen utama ini dapat membina kematangan pelajar dalam menganalisis peristiwa masa lalu, masa kini dan membuat keputusan di masa akan datang. Ilmu Sejarah mampu membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, dan yang paling penting berkomunikasi di kalangan pelajar sekali gus melahirkan pelajar yang holistik.

Ilmu Sejarah membicarakan interaksi antara manusia terutamanya, maka, subjek pengajian kemanusiaan ini mengkaji masyarakat terutamanya dapat menimbulkan minat pelajar untuk memahami dan menghayati kepentingan interaksi antara manusia ini.

Maka subjek Sejarah menjadi lebih menarik apabila dapat diperluaskan kepada sejarah dunia bagi menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia dan seterusnya memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian serta kekayaan budaya yang wujud di dunia. Fenomena globalisasi yang menjadikan dunia ini semakin sempit menyebabkan sejarah dunia menjadi satu elemen penting dalam membina insan yang menyeluruh.

Ciri-ciri sivik seperti toleransi, empati, sifat inclusive, menghormati komuniti, mengutamakan kepentingan awam dan sebagainya amat penting dalam melahirkan warga negara dan warga dunia yang perihatin lagi bertanggunjawab.

Ini selari dengan trend pendidikan di dunia baik di peringkat rendah mahupun peringkat pengajian tinggi yang mula mengutamakan liberal studies kerana mampu melahirkan individu atau pelajar yang versatile, yang luar biasa kemahiran berfikir dan kepakarannya dalam berhujah serta kreativitinya dalam menghasilkan penulisan dan penerbitan.

Di institusi pendidikan ternama kombinasi liberal studies dengan disiplin sejarah mula mendapat sambutan dan graduan yang menerima pendidikan yang holistik ini rata-rata lebih mudah mendapat pekerjaan dan disukai majikan.

Nilai kemanusiaan yang dipupuk melalui ilmu sejarah ini tidak dapat dinilai harganya. Maka sekiranya disiplin lain disanjung kerana nilai ekonominya oleh masyarakat Malaysia yang semakin materialistik, maka subjek Sejarah harus dimartabatkan kerana ciri-ciri kemanusiaan yang ditanam dan dipupuk di dalam jiwa pelajar.

Aspek kemanusiaan ini memerlukan masa yang panjang untuk dipupuk, dibina dan diperteguhkan.

Maka adalah sesuai sekiranya pengajian kemanusiaan ini di perkenalkan di peringkat rendah. Apabila kefahaman ini sudah wujud di kalangan pelajar maka, mudah bagi mereka membentuk jati diri berpandukan nilai-nilai bersama dan universal.

Nilai ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam "1Malaysia" yang sedang menuju ke arah negara maju tahun 2020 dan juga warga dunia yang kompetitif di mana jua berada berlandaskan keunggulan jati diri yang dibina melalui ilmu sejarah.

No comments:

Post a Comment