Wednesday, September 26, 2012

Modul EDU 3106 Budaya & Pembelajaran


1.0  PENDAHULUAN

         Apabila disebut budaya, ianya sering dikaitkan dengan masyarakat. Hal ini berikutan budaya itu menjadi identiti yang tersendiri bagi sesuatu kelompok masyarakat atau kaum di sesebuah kawasan. Istilah “kebudayaan” atau “budaya” berasal daripada kata Sanskerta “Buddhayah” yang bermaksud budi dan akal. Jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, budaya disebut “culture” yang merupakan perkataan latin “colere” yang membawa makna mengolah dan mengerjakan.
         Menurut Kamus Dewan menyatakan budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban. Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi iaitu bagaimana sesuatu masyarakat itu berfikir dan berkelakuan.
         Dr. Mohd Arshad Hj. Taib yang juga  merupakan bekas professor Madya UiTM menjelaskan maksud sosio-budaya iaitu suatu amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat yang lahir dari pegangan an kecenderungan diri masyarakat berkenaan dalam berbagai bidang hidup untuk memberi kepuasan dan merangsang pembangunan hidup masyarakat tersebut.
         Jika dilihat dari sudut pendidikan, kepelbagaian sosio-budaya individu ini boleh dlihat daripada pelbagai aspek. Contohnya dari segi ras, etnik dan adat budaya mereka sehinggalah kepada skop yang lebih luas seperti jantina, saiz badan, kesihatan,personaliti dan emosi. Slavin (1997) mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Menurut beliau, kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kada belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina, bakat dan minat. (A. Aziz Deraman,2005)
         Negara kita merupakan salah satu contoh negara yang mempunyai kepelbagaian sosio-budaya. Hal ini berikutan negara kita terbentuk melalui masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Dalam konteks ini, perpaduan di antara kaum sangat dititikberatkan. Perbalahan di antara kaum boleh mengakibatkan kesan yang amat besar kepada kestabilan negara ini. Secara umumnya, negara kita terdiri daripada tiga etnik yang utama iaitu Melayu, Cina dan India.
         Orang Melayu berasal dari kumpulan etnik Austronesian dan mereka kebanyakkanya menetap di Semenanjung Malaysia. Mereka menganut agama Islam dan adalah bumiputera mengikut perlembagaan Malaysia. Bumiputera lain juga berasal dari kumpulanb etnik Austronesian tetapi mereka menetap di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Orang Melayu membentuk 50.4 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia manakala bumiputera yang lain membentuk 11 peratus dari jumlah penduduk di Malaysia.
         Orang Cina di Malaysia ialah orang Cina luar negara yang menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka ialah keturunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Di Malaysia, lazimnya kaum ini dirujuk sebagai "orang Cina" dalam semua bahasa. Istilah Orang Cina Malaysia agak jarang dipakai di negara ini. Mereka  memainkan  peranan penting dalam perdangangan dan perniagaan. Antara bahasa yang digunakan oleh orang Cina ialah Mandarin, Cantonese, teochew dan hakka. Agama utama bagi orang Cina ialah agama Budha tetapi terdapat sebahagian orang Cina yang menganut agama Kristian dan ada juga yang mengamalkan ajaran Tao.
         Orang India merupakan kumpulan etnik ketiga besar di Malaysia. Orang-orang India telah berhijrah ke Malaysia sejak 2,000 tahun yang lalu. Kumpulan-kumpulan seperti komuniti Chitty Melaka dan komuniti Mamak merupakan keturunan penghijrah semasa Kesultanan Melaka dan kemudiannya semasa pendudukan Melaka oleh orang Portugal dan Belanda. Kebanyakkan orang India adalah dari kumpulan etnik Tamil, tetapi ada juga dari kalangan etnik Telugus, Malayalis, Punjabis, Sindhis, Bengalis dan Gujaratis. Pekerjaan mereka ialah peniaga dan pekerja ladang.

2.0  IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIO-BUDAYA

         Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan bangsa, perbezaan dan kepelbagaian sosio-budaya memang tidak  dapat dinafikan lagi. Negara kita lahir daripada pembentukan kelompok masyarakat yang berbilang etnik seperti Melayu, Cina, dan India serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli dan kaum-kaum lain yang menjadi kaum minoriti. Kepelbagaian sosio-budaya ini memberi pelbagai implikasi dalam masyarakat tidak kira sama ada yang positif mahupun yang negatif.
         Di dalam bidang pendidikan, kepelbagaian sosio-budaya ini telah mewujudkan satu suasana pembelajaran yang berbeza dan menarik untuk dibincangkan. Guru memainkan peranan yang penting dalam mengawal dan menguruskan kelas. Perpaduan merupakan aspek penting di dalam masyarakat yang berbilang kaum ini, proses kea rah perpaduan ini bermula daripada sekolah itu sendiri. Oleh itu, guru perlu bijak memainkan peranan mereka sebagai agen perpaduan yang berkesan.
         Apabila disebut mengenai impak kepelbagaian sosio-budaya terhadap pengurusan kelas ini, kita boleh melihat impaknya dari dua aspek iaitu impak  kepada guru dan juga murid. Bagaimana kedua-dua aspek ini memainkan peranan dalam pengurusan kelas agar perpaduan dapat diwujudkan bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia yang diwar-warkan oleh kerajaan.

2.1  Impak Ke Atas Guru

2.1.1  Dasar professional guru di dalam kelas

         Setiap kelas di sekolah sudah pasti wujud kepelbagaian budaya. Oleh itu, seseorang guru itu perlulah bersikap professional di dalam menguruskan kelas. Guru perlulah member perhatian terhadap beberapa perkara semasa pengajaran untuk membentuk suasana pembelajaran yang kondusif. Guru juga berperanan dalam membentuk hubungan yang sihat di antara pelbagai kaum dan persefahaman di kalangan murid-murid sekolah.
          Guru yang professional tidak akan mengkelompokkan murid mengikut kaum dan akan mengajar dengan adil. Menurut Dato’ Sri Najib Tun Abd. Razak, dalam konsep 1 Malaysia, kerajaan perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan komitmen membantu tanpa melihat ras dan etnik. Selagi seseorang itu memegang status sebagai warga negara Malaysia, mereka layak menerima bantuan tanpa melihat dari kaum mana mereka datang.  Oleh itu, seseorang guru itu hendaklah mengendalikan kelas dengan adil supaya murid dapat bergaul dan berinteraksi dengan semangat persaingan yang sihat Menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid.
         Selain itu, guru juga disarankan supaya mengajar murid tanpa membezakan kelas sosial murid. Kelas sosial mengambarkan perbezaan cara hidup dan pendapatan di dalam sesuatu bangsa yang sama. Mungkin terdapat murid yang  terdiri  daripada golongan yang berada dan ada yang terdiri daripada golongan yang miskin. Guru perlu memberi layanan yang sama rata kepada mereka. Setiap murid tidak kira miskin atau kaya mempunyai hak untuk mendapat pendidikan sama seperti orang lain.

2.1.2 Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran yang bersesuaian

         Kepelbagaian sosio-budaya di dalam kelas ini memerlukan guru untuk bijak dalam merancang perjalanan kelasnya. Guru perlu berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi aspek perancangan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjamin kemajuan pelajar secara optimum. Antara aspek yang perlu diberi perhatian seperti objektif pembelajaran, keadaan bilik darjah dan tahap kecerdasan murid.
         Guru perlu merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan semua kepercayaan, nilai dan agama murid. Di dalam aktiviti yang dirancang itu mestilah diselitkan dengan nilai-nilai murni dan unsur-unsur perpaduan. Murid boleh diberi peluang untuk melibatkan diri di dalam setiap aktiviti yang dijalankan agar mereka dapat menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran. Aktiviti yang melibatkan interaksi di kalangan murid haruslah sentiasa dijalankan agar murid dapat menjalinkan hubungan yang lebih mesra sesama mereka tanpa mengira latar belakang sosial dan kecerdasan individu(A. Aziz Deraman 2005)
         Bahasa yang digunakan hendaklah bahasa yang rasmi iaitu Bahasa Melayu dan bebas daripada sebarang dialek. Hal ini kerana bahasa yang standard membolehkan semua murid memahami apa yang dituturkan oleh guru. Secara tidak langsung, mereka dapat berinteraksi dengan guru dan mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
         Selain itu, topik-topik yang dibincangkan mesti bebas daripada menyentuh sebarang isu-isu sensitif. Guru perlu peka dengan nilai dan kepercayaan murid. Setiap kepercayaan dan nilai perlu diterima seadanya. Tumpuan juga perlu diberikan kepada murid yang lemah. Pelbagai kaedah dan strategi pengajaran boleh diaplikasikan oleh guru agar masalah perbezaan kecerdasan ini dapat diatasi beransur-ansur.

2.2  Impak Ke Atas Murid

2.2.1  Merapatkan jurang sosio-budaya di antara murid

         Murid ini boleh diibaratkan sebagai pelanggan kepada guru. Oleh itu, guru yang baik hendaklah memberi perkhidmatan yang baik kepada pelanggannya. Di dalam kelas, guru bertanggungjawap dalam menghapus atau merapatkan jurang sosio-budaya antara murid-murid. Murid perlu didedahkan dengan isu kepelbagaian budaya seperti perbezaan jantina, etnik, kelas sosial, prasangka dan diskriminasi. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti icebreaking, latihan penyelesaian masalah, berkongsi tentang diri dan pelbagai lagi aktiviti yang lain. Melalui aktiviti ini, murid dapat meluahkan pandangan mereka terhadapa isu yang berkaitan agar mereka lebih memahami dengan mendalam terhadap kepelbagaian budaya.
         Murid harus bersosial dalam melakukan aktiviti pembelajaran. Murid harus berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prajudis terhadap bangsa lain. Proses sosialisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Melalui cara ini, semangat perpaduan dapat disemai di dalam diri murid dan sekaligus membentuk masyarakat yang bersatu-padu sesuai dengan konsep 1 Malaysia.

2.2.2  Mengurus tingkahaku murid

         Guru perlu peka dan faham dengan tingkahlaku murid di dalam kelas Hal ini kerana setiap murid terdiri daripada tingkahlaku dan latar belakang budaya yang berbeza. Oleh itu, guru perlu memastikan setiap tindakan yang diambil terhadap murid itu adalah tepat dan bersesuaian.
         Antara perkara yang boleh dijadikan panduan mengurus tingkahlaku murid ialah menyenaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang peraturan yang wajib mereka patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seperti menghormati orang lain semasa mereka bercakap dan sebagainya.
         Selain itu. guru juga perlulah menunjukkan teladan yang baik kepada murid-murid. Hal ini kerana guru dianggap sebagai role-model oleh murid-murid. Murid biasanya akan terpengaruh dengan perlakuan guru. Oleh itu, guru perlulah menjaga tingkahlaku ketika berada di kelas. Guru juga perlu memberi arahan yang jelas kepada murid mengenai peraturan untuk mengurangkan tingkahlaku yang tidak diingini.

2.2.3  Komunikasi yang berkesan

         Kemahiran komunikasi sangat penting dalam mewujudkan perpaduan. Komunikasi yang berkesan dapat merapatkan jurang di antara kaum. Komunikasi yang berkesan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara seperti cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan dan sebagainya. Guru yang menggunakan kemahiran ini berupaya untuk membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan berkesan. Selain itu, pembentukan nilai-nilai murni dapat dilakukan dengan mudah melalui komunikasi kerana guru boleh menerangkan mengenai nilai-nilai murni ini secara lisan dan lebih difahami oleh murid.

         Murid mudah menerima motivasi yang disampaikan secara berhemah dan berhikmah. Guru mesti mengunakan komunikasi berkesan untuk menghasilkan motivasi yang berkesan. Guru hendaklah membiasakan diri dengan senyuman selain kerap dan mudah memberi penghargaan apabila murid mempamerkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya seperti menyiapkan kerja sekolah, mendapat keputusan yang baik dan sebagainya.
         Dalam berkomunikasi, guru serta murid harus mengamalkan penggunaan bahasa standard iaitu Bahasa Melayu. Penggunaan dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan. Selain itu, penggunaan laras bahasa yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi yang sesuai. Aktiviti yang bercorak kearah peningkatan bahasa juga perlu disertai supaya tahap penguasaan murid sentiasa bertambah. Murid juga digalakkan untuk berinteraksi dan berhubung denga mereka yang berlainan jantina. Hal ini supaya mereka mendapat kesedaran mengenai batas-batas perhubungan dalam interaksi berlainan jantina.

4 comments:

  1. Salam,kepada sesiapa yang membaca dan mengambil bahan dalam blog saya ini,harap anda boleh tinggalkan sikit komen.Agar saya tahu anda telah melayaari blog saya.thanks.

    ReplyDelete
  2. Salam. minta izin untuk dibuat sedikit tugasan. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  3. terima kasih atas perkongsian.. sangat membantu

    ReplyDelete