Monday, February 27, 2012

BMM PPG 3103



PENGERTIAN KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN.
PENTAKSIRAN
Definisi
Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Dari konteks pendidikan pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Tujuan Pentaksiran
· Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
· Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
· Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
· Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
· Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
· Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
· Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran

PENGUJIAN
Definisi
Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.
Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970)
“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.
(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahapberapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.
Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment