Friday, December 30, 2011

Perkembangan Tamadun Dan Kesan Ke Atas Perpaduan di Malaysia



           Daripada catatan Kamu Dewan, tamadun diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun, bermakna bangsa yang beradab, bersopan-santun dan berkemajuan. Kalau ditinjau dari segi aspek bahasa, perkataan tamadun berasal daripada kata dasar Bahasa Arab Tamaddana atau Madana yang mengandungi erti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran.

         Dari perspektif Barat, Arnold Toynbee telah mengatakan tamadun ialah satu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat elemen, iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni.

          Dari perspektif Islam pula, Dr. Muhammad al-Bahly mengatakan tamadun itu ialah keseluruhan penghasilan atau produktiviti yang menggambarkan nilai keperibadian manusia sama ada berbentuk falsafah, pengetahuan, kesenian, politik, kesusasteraan dan sebagainya.
 

CIRI-CIRI TAMADUN
Sifat-Sifat Tamadun Islam
           
         Tamadun Islam, dalam proses kelahiran dan perkembangannya mengandungi beberapa bahagian atau dianggap unik berbanding tamadun-tamadun dunia lain. Sifat-sifat tamadun Islam terbahagi kepada lima iaitu :
   
          Pertama, sejagat. Kesejagatan tamadun Islam bermakna ia tidak terikat kepada bangsa tertentu, sebaliknya seluruh umat manusia yang berpegang kepada al-Din.
          
          Kedua, sifat tamadun Islam itu ialah terbuka dan tidak bersifat tertutup. Keterbukaan bermakna tamadun Islam yang dilahirkan dan dicipta itu tidak dibatasi oleh had-had tertentu tetapi masih diletakkan di atas garis panduan syariat Islam yang tetap dan berkembang selaras dengan perubahan masa. Tamadun Islam terbuka kepada semua Tamadun yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
             
           Ketiga, tamadun Islam juga bersifat sepanjang zaman iaitu berkesinambungan dan mengalami proses kesinambungan hingga masa kini. Perkembangannya bermula dengan turunnya wahyu pertama, Surah Al-‘Alaq dan tidak pernah berhenti sehingga hari kiamat.
           
            Keempat, tamadun Islam juga bersifat toleransi terhadap sistem agama atau kepercayaan atau kebudayaan lain. Tamadun Islam pernah berkembang dalam dunia yang tidak dikenali , tetapi tetap mempertahankan toleransi. Masyarakat buka Islam yang berada dalam pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam tidak dilarang untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka. Ini sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat dan kepentingan kestabilan.
             
         Kelima, tamadun Islam mempunyai ciri-ciri kesatuan dalam kepelbagaian. Sebarang bentuk kemajuan dan pencapaian dalam tamadun Islam,dan dalam pelbagai bidang semuanya di bawah kesatuan akidah Islam yang menjurus kearah meng-Esakan Tuhan, Allah Pencipta Sekalian Alam. Penemuan dan hasil ciptaan baru yang dicapai dalam tamadun manusia semuanya dikembalikan kepada kebesaran dan keagungan Tuhan Pencipta seluruh Alam.











Ciri-Ciri Utama Tamadun Islam

           Ciri-ciri utama tamadun Islam juga disebut sebagai ciri-ciri khusus Islam. Diantara ciri-ciri utama Islam ialah menyeluruh (sempurna).Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah undang-undang (syariah), akidah, akhlak, hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungan sesama manusia.

   Ia juga menekankan keadilan untuk semua insan, sama ada Islam atau bukan Islam, kawan atau lawan dan sama ada mempunyai hubungan keluarga atau sebaliknya. Dalam bidang kehakiman, tamadun Islam telah terbukti dapat mengembalikan hak kepada yang berhak, sebagaimana dalam sejarah.
            
           Ciri utama yang kedua bagi agama Islam ialah umum. Tamadun Islam bersesuaian dengan semua orang setiap masa dan empat kerana ciri umumnya yang bersifat sejagat dan terbuka.

  Agama Islam juga mempunyai ciri yang bersifat tetap dan anjal. Ini bermakna Islam merupakan suatu yang tetap dan tidak berubah dari segi tujuan dan matlamat pembinaan tmadun manusia,tetapi anjal dari sudut cara dan teknik perlaksannanya.
           
          Ciri utama Islam yang berikutnya adalah ideal dan realistik. Islam sentiasa menekankan dan meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai, dengan mengawasi seluruh kegiatan manusia agar tidak bercanggah dengan jaran Allah S.W.T.




CONTOH KERETAKAN KAUM DI MALAYSIA     
         
             “Kita tidak akan berdosa apabila berkata bahawa orang Melayu itu tidak diharap boleh bergaul dengan bangsa Malayan, tak boleh sekata dan seturut, tak boleh bekerjasama bahkan bukan sekadar demikian sahaja, tetapi barangkali akan tiba masanya orang Melayu itu tak boleh percaya kepada bangsa asing. Bukan sekadar tak boleh percaya sahaja, akan tetapi ialah juga bahawa bangsa-bangsa asing ini kelak akan menjadi musuh hidup orang Melayu bagi suatu masa yang panjang jika tidak diubati hari ini.”

Begitu juga dengan rencana akhbar ini yang bertarikh 12 Disember 1932 bertajuk “Bangsa Asing Tidak Patut Meminta Hak” jelas menggunakan kata-kata yang lebih kesat dan keras dalam ulasannya. Umpamanya: Rupanya telah lupa entah berapa banyakkah khazanah bumi Melayu yang telah dimuntahdarahkan (dimakan) mereka (Cina) dan berapa ribukah sudah wang Tanah Melayu yang telah dihantar mereka ke negerinya dan berapa banyakkah pula bangsat-bangsat dari Tongsan itu sekarang ini telah menjadi meliana (millionaire) di dalam negeri Melayu.

           Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 juga telah memperlihatkan betapa peranan akhbar telah menyemarakkan perbalahan antara kaum di negara ini dengan memainkan pelbagai isu perkauman dalam setiap laporan mereka. Malahan terdapat pelbagai laporan lain yang dilihat sebagai mengapi-apikan masyarakat Melayu pada waktu itu. Banyak sarjana yang beranggapan bahawa peranan yang dimainkan oleh akhbar pada waktu itu turut menjadi faktor penyebab berlakunya situasi tegang tersebut.

           Sebahagian besar rakyat Malaysia hanya mengetahui bahawa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 adalah satu-satunya kejadian rusuhan kaum di negara ini. Tetapi masih ramai yang tidak tahu bahawa jauh sebelum itu telah berlaku beberapa kejadian pergaduhan kaum yang dianggap sebagai kes terpencil.

Di bawah ini dicatatkan  3 kejadian pergaduhan kaum yang pernah berlaku sebelum peristiwa 13 Mei 1969:

1.Rusuhan Kaum di Georgetown,P.Pinang
        
          Kejadian bermula apabila berlangsungnya perarakan bagi meraikan Georgetown dinaiktaraf kepada status bandaraya. Perarakan yang diadakan pada 2 Januari 1957 itu melibatkan hampir keseluruhannya orang Cina, manakala UMNO mengambil keputusan untuk tidak mengambil bahagian atas sebab tertentu. Berita angin tersebar mengatakan akan berlaku kekacauan semasa perarakan tersebut diadakan, lalu kenderaan polis yang mengepalai perarakan itu telah diarahkan menyiasat perkara tersebut.kenderaan tersebut telah berpatah balik ke belakang perarakan itu. Ia kemudian disalahtafsirkan oleh orang Cina bahawa orang melayu akan menyerang dari arah belakang perarakan.
          
           Jadi,mereka telah memperlengkapkan diri mereka dengan senjata seperti parang,kapak dan sebagainya yang diperolehi dari rumah-rumah yang berada di sepanjang perarakan itu. Akibat keadaan telah semakin tegang, polis terpaksa menyuraikan perarakan itu. Sekumpulan orang Cina sambail bersurai telah mengejar beberapa orang Melayu ke sebuah rumah berhampiran. Polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan seorang daripada kumpulan terbabit mati, manakala seorang lagi cedera.
      
          Akibat peristiwa tersebut,berlaku kejadian serang-menyerang d antara dua kaum tersebut.Rusuhan kaum ini yang berlanjutan sehingga 8 Januari 1957 telah mengakibatkan seramai 4 orang terkoban,manakala 48 orang lagi cedera.

2.Rusuhan kaum di Pulau Pangkor,Perak
         
          Kejadian bermula apabila berlaku pergaduhan antara seorang Cina dengan seorang pemuda Melayu di Sungai Pinang pada 1 Mei 1959. Perbalahan tersebut telah merebak menjadi dendam antara orang Melayu dan orang Cina.
       
            Tiga orang Melayu telah cedera, manakala banyak harta musnha dalam satu pergaduhan dengan orang Cina. Akibatnya orang Melayu membalas dendam.
Seramai 20 orang yang juga lengkap bersenjata telah bersiap-siap untuk menyerang 30 orang Cina yang juga lengkap bersenjata. Pergaduhan dapat dielakkan apabila polis tiba & menyuraikan kumpulan tersebut.
        
         Pada 2 Mei 1959, sebuah rumah kongsi dan 6 buah rumah orang Cina telah dibakar oleh orang Melayu dalam satu pergaduhan. Kejadian berlaku akibat salah faham. Mesyuarat yang dihadiri oleh orang Melayu di masjid untuk membincangkan langkah mengawal keselamatan telah dianggap oleh orang Cina untuk mengancam mereka. Akibatnya, berlakulah pertempuran antara orang Cina dengan orang Melayu.
        
           Beberapa pertempuran terus berlanjutan. Akibatnya, seorang Melayu telah terbunuh manakala 5 lagi cedera. Di pihak Cina, seorang terkorban, manakala 2 lagi cedera. Kejadian membalas dendam telah menyebabkan berlakunya huru-hara di pulau dan kawasan berhampirannya. Nasib baik, ketegasan pihak berkuasa menangani kejadian tersebut berjaya meredakan keadaan.
         
         Perintah berkurung telah diisytiharkan pada 3 Mei 1959 di Pulau Pangkor. Beberapa orang yag disyaki sebagai dalang rusuhan kaum itu telah ditangkap. Sebuah Jawatankuasa Muhibbah telah dibentuk, manakala pihak polis telah memperhebatkan kawalan.

3. Rusuhan Kaum di Bukit Mertajam, P. Pinang
           
          Kejadian tercetus akibat pertengkaran kecil di pasar Bukit Mertajam pada 11 Julai 1964. Seorang pekerja Melayu telah dipukul dengan cangkul oleh seorang penjaja Cina berusia 15 tahun. Akibatnya, pekerja Melayu itu telah pergi ke pejabat ketuanya untuk mengadu. Namun, 40 orang Cina telah muncul dan mneyerang pekerja Melayu itu.
        
         Kemudian, pekerja Melayu itu dengan diiringi ahli UMNO telah membuat laporan kepada Pengerusi Majlis Daerah dan Pegawai Daerah tetapi mereka tiada. Kerana kes tersebut, seramai 30 orang Melayu telah menyerang orang Cina di pasar Bukit Mertajam untuk membalas dendam, lalu mengakibatkan seorang Cina dan seorang Melayu cedera (tetapi mati keesokan harinya).
         
           Pertempuran terus berlaku di daerah Bukit Mertajam. Dilaporkan seorang Cina terkorban, manakala beberapa yang lain cedera.


LANGKAH POSITIF UNTUK MENGATASI KERETAKAN HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA
        
         Konflik etnik dan ras ini tidak akan menguntungkan sesebuah negara itu mahupun rakyatnya. Ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban dan banyak harta yang musnah. Malah ia membawa kerugian dan pengalaman pahit kepada rakyat di negara yang berlakunya masalah konflik etnik dan ras.
          
         Konflik etnik dan ras di sesebuah negara boleh di atasi dengan beberapa langkah dan strategi untuk mempastikan peristiwa yang sedemikian rupa tidak akan terjadi.
           
         Di antara langkah-langkah penting yang perlu dilakukan dengan membasmi kemiskinan tanpa mengira perbezaan etnik dan ras. Sesebuah masyarakat perlu dibuat penyusunan semula untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kumpulan etnik dan menghapuskan pengenalan etnik dengan kegiatan ekonomi dan kawasan tempat tinggal. Dalam masyarakat tersebut kepentingan umum akan lebih diutamakan daripada kepentingan kaum atau kumpulan-kumpulan yang tertentu.
       
           Kebebasan dan hak-hak asasi individu dalam sesebuah negara akan dijamin dalam perlembagaannya. Dengan ini satu masyarakat adil dapat dilahirkan, semua rakyatnya mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kemakmuran negara mereka, kekayaan negara pula akan diagihkan secara saksama dan tidak akan dibenarkan berlaku pemerasan manusia oleh manusia. Organisasi politik yang berasaskan kepada kepentingan etnik perlu dihapuskan dan mewujudkan percampuran di antara etnik-etnik untuk mewujudkan sebuah organisasi yang sependapat.
             
          Sistem pendidikan juga boleh memainkan peranan yang berkesan untuk menjamin keamanan sesebuah negara yang mempunyai pelbagai golongan etnik dan ras. sistem pendidikan ini boleh menjadi agen sosialisasi bagi memupuk keperibadian dan kesedaran bersama di kalangan rakyat negara-negara yang terlibat.
         
           Melalui pendidikan jugalah sesebuah negara itu dapat melahirkan perpaduan dan persefahaman antara golongan etnik dan ras. Sikap dan pemikiran perkauman di kalangan pelajar-pelajarnya dapat dikikis dan dihapuskan dengan pendidikan yang berkesan .
        
           Sebilangan besar parti-parti politik yang berasaskan kepada perjuangan kepentingan kumpulan etnik masing-masing perlu dibawa bersama ke dalam satu ikatan politik yang lebih besar. Pembentukan politik campuran ini menyenangkan sesebuah kerajaan dalam proses pembentukan bangsa yang bersatu. Setiap permasalah yang timbul dalam kumpulan-kumpulan etnik boleh dibawa berbincang. Politik campuran ini boleh mencari jalan penyelesaian dalam keadaan berlakunya konflik.
         Walaupun semua rakyat inginkan perpaduan tetapi masing-masing mempunyai tanggapan dan cara yang berlainan. Oleh itu, perbezaan pendapat tentang cara dan pendekatan untuk mencapai perpaduan itu sentiasa wujud. Perbezaan pandangan ini timbul kerana dipengaruhi oleh keadaan realiti politik dan masyarakat itu sendiri.
           
         Selain  daripada itu,mengikut konsep dan persepsi serta ketamadunan di negara ini,beberapa langkah boleh diambil dalam menangani masalah keretakan hubungan antara kaum ini.
         
            Berdasarkan penemuan kajian terdapat lima cadangan umum yang ingin dibentang dan dibincangkan. Pertama, sudah sampai masanya matlamat mewujudkan negara-bangsa Malaysia ini diletakkan sebagai dasar utama negara. Walaupun kajian ini hanya dilakukan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja namun cadangan ini dilihat perlu berdasarkan rasional bahawa dengan meletakkan matlamat mencapai negara-bangsa sebagai dasar negara, ianya bukan sahaja memberitahu kepada semua lapisan masyarakat Malaysia tetapi juga kepada generasi muda di universiti-universiti bahawa negara bukan setakat ingin mencapai perpaduan dan keharmonian di antara rakyat tetapi ada matlamat yang lebih tinggi daripada itu iaitu mencapai tahap negara-bangsa Malaysia.
              
      Dengan cara ini pastinya masyarakat umum akan memperolehi maklumat, kesedaran dan penghayatan yang lebih bermakna sekaligus turut memberi kesan kepada golongan cerdik pandai di universiti yang akan mewarisi negara kita. Dicadangkan supaya matlamat muwujudkan negara-bangsa ini dijadikan dasar utama negara kerana dengan keadaan itu barulah perancangan dan perlaksanaan yang lebih pro-aktif dapat dilaksanakan dan tidak hanya sekadar perbahasan tanpa tindakan.

             Keduanya, bagi memastikan pemisahan wilayah antara kawasan yang maju dan kurang maju dapat dirapatkan adalah dicadangkan supaya pelan strategi pembangunan negara memberi peluang yang lebih ketara kepada pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah-wilayah yang kurang maju. Oleh itu, program-program yang telah dan akan dilaksanakan untuk pembangunan di kawasan kurang maju ini hendaklah dipastikan sampai kekelompok sasaran secara langsung tanpa ada halangan ‘orang tengah’ yang terlalu ketara.
           
             Selain itu, penerusan program pembasmian kemiskinan dikawasan yang kurang maju dan mundur ini perlu diperhebatkan dengan lebih giat terutamanya dalam meningkatkan kemudahan infrasruktur dan kemudahan asas supaya perlaksanaan pelbagai rancangan pembangunan lain dapat dilaksanakan. Ini bermakna pembangunan kawasan kurang maju haruslah diberi penekanan sepenuhnya kerana pemisahan wilayah yang keterlaluan menjadi faktor penghalang kepada pembinaan negara-bangsa Malaysia.

             Ketiga, penubuhan sekolah-sekolah yang boleh menghasil integrasi kaum yang lebih padu seperti Sekolah Wawasan haruslah dilaksanakan secepat mungkin supaya masalah polarisasi kaum dapat dikurangkan terutamanya di institusi pengajian tinggi. Oleh itu, semua kaum terutamanya mereka yang datang daripada golongan politik dan pendidikan hendaklah sama-sama berbincang secara rasional dan mencari kesepakatan dalam menentukan ciri-ciri sekolah yang akan dibentuk supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

          Janganlah suatu hari nanti perjuangan melampau golongan hari ini dalam mempertahankan ciri-ciri dan budaya etnik masing-masing menjadi alasan kepada tidak terwujudnya negara-bangsa Malaysia kerana sudah ternyata kepentingan kewujudan negara-bangsa bukan sahaja lebih penting kepada negara tetapi mampu menjamin kehidupan yang lebih baik untuk semua etnik dinegara ini.

           Keempatnya, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat bagi menjamin tidak ada parti-parti politik yang ketara mengemukakan sentimen perkauman dan keagamaan sehinggakan menggugat  keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Pembendungan gejala ini adalah perlu dilaksanakan segera supaya penggunaan sentimen sempit ini tidak terus berleluasa sehingga tidak dapat ditangani dan memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.

          Kelimanya, Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), media massa dan lain-lain yang terlibat haruslah mempergiatkan fungsinya dengan lebih berkesan supaya dapat memastikan bahasa kebangsaan digunakan secara meluas dikalangan masyarakat dan dapat dijadikan satu identiti nasional yang boleh dibanggakan oleh semua warga Malaysia. Oleh itu, penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti di majlis-majlis rasmi negara, seminar-seminar, media massa dan lain-lain haruslah dilaksanakan. Dalam hasrat membina jatidiri yang berwajah Malaysia di dalam dunia yang serba moden ini, sama-samalah warga Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kita ‘menggunakan bahasa Malaysia dan menguasai Bahasa Inggeris’.

     
KESIMPULAN
          Tamadun kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia hanya akan terjamin dengan terbentuknya sebuah negara-bangsa. Untuk itu kepada pejuang Melayu, sedarlah bahawa perjuangan mewujudkan negara-bangsa Melayu sudah lama gagal dan kepada pejuang berketurunan Cina dan India sedarlah anda bukan lagi orang Cina di negara China dan orang India di negara India. Kita semua pejuang Malaysia di negara Malaysia. Falsafah perjuangan berlandaskan etnik tidak menjamin kita ke arah yang lebih baik malah mungkin menjadi buruk keadaannya. Tiada cara lain, sama-samalah warga Malaysia membina bangsa baru iaitu bangsa Malaysia. Percayalah, berdiri dibawah naungan negara-bangsa tidak menghapuskan keturunan kita.






RUJUKAN
http://negara-bangsa.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment