Thursday, May 1, 2014

ORANG ASLI DI MALAYSIA

Siapakah Orang Asli?
Siapakah yang dikatakan warga peribumi? Menurut Hasan Mat Nor (1998), umumnya istilah peribumi digunakan bagi merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara di mana mereka ini telah datang di wilayah tersebut lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat. Pernyataan ini walau bagaimanapun dilihat masih umum serta kabur untuk digunakan memandangkan semakan lanjut mendapati terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan bagi merujuk kepada masyarakat peribumi iaitu istilah peribumi, bumiputera dan Orang Asli. Bahagian awal artikel ini mengupas istilah-istilah berkenaan peribumi dengan tujuan meluaskan pengetahuan dan mengelak daripada kekeliruan akibat salah tafsiran, seterusnya mendapatkan definisi sesuai untuk diterimapakai di dalam artikel ini.
Kamus Dewan memberi takrif peribumi sebagai ‘penduduk asli’ dan juga bumiputera (DBP, 1964). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentaktifkan peribumi sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa peribumi merupakan istilah umum yang digunakan bagi merujuk kepada semua kelompok manusia yang dianggap sebagai penghuni asal atau terawal di Malaysia.
Manakala, di bawah istilah peribumi ini barulah muncul dua istilah yang lebih spesifik digunakan bagi membezakan status kumpulan-kumpulan ‘para penduduk asal’ ini iaitu bumiputera dan Orang Asli. Hasan Mat Nor (1998) telah mengemukakan takrifan masyarakat peribumi menurut klasifikasi perundangan di mana terdapat dua kelompok warga peribumi di Malaysia iaitu bumiputera dan Orang Asli. Menurut beliau, kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai bumiputera adalah meliputi Orang Melayu di Semenanjung; Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau, Murut serta penduduk-penduduk natif lain di Sarawak; dan Orang Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau dan penduduk-penduduk natif lain di Sabah. Manakala Orang Asli pula meliputi tiga kelompok etnik utama dikenal sebagai Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (Hasan Mat Nor, 1998; Sunaidin, 1997). Pengkaji terkemudian seperti Nicholas (2000) mentakrifkan panggilan ‘Orang Asli’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘masyarakat pertama’ yang mendiami Semenanjung Malaysia.
Perbezaan maksud istilah bumiputera dan Orang Asli dapat dilihat dengan merujuk kepada definisi di dalam perlembagaan negara dan juga Akta Orang Asli 1954 (Malaysia, 1974). Menurut (fasal) perlembagaan, istilah bumiputera membawa maksud yang lebih luas dan merangkumi keseluruhan Malaysia. Manakala, Akta 134 iaitu akta khusus bagi Orang Asli hanya boleh dikuatkuasakan bagi Semenanjung Malaysia, menetapkan 4 syarat utama bagi mendefinisikan Orang Asli iaitu:
a) Mana-mana orang yang bapanya adalah dari rumpun bangsa Orang Asli yang bercakap dalam bahasa Orang Asli yang lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan. Ini termasuklah keturunan Orang Asli itu; mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh Orang Asli dan adalah seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.
b) Anak dari apa-apa persatuan antara seseorang perempuan Orang Asli dengan seseorang lelaki dari kaum lain dengan syarat bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli yang adat dan kepercayaan Orang Asli yang masih lagi menjadi seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.
c) Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli kerana ia telah masuk sesuatu agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, ia masih mengikut cara hidup Orang Asli serta bercakap dalam bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi seseorang Orang Asli semata-mata oleh sebab ia mungkin mengamalkan agama itu.
d) Apa-apa soal sama ada seseorang adalah Orang Asli atau bukan Orang Asli hendaklah diputuskan oleh Menteri.
Daripada definisi yang dibincangkan di atas, didapati masyarakat Orang Asli merupakan warga peribumi (golongan penduduk asal) Malaysia, namun agak berbeza dengan kelompok penduduk yang diistilahkan sebagai masyarakat bumiputera. Ini kerana peruntukan di dalam akta telah jelas bahawa istilah Orang Asli hanya digunakan bagi menjelaskan status penduduk asal di Semenanjung Malaysia, manakala lain-lain kaum asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Melayu di Semenanjung diistilahkan sebagai bumiputera. Oleh yang demikian, maksud dan penggunaan istilah ‘Orang Asli’ di dalam artikel ini hanya akan merujuk kepada 3 kumpulan etnik Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.
Orang Asli adalah penduduk terawal tinggal di Semenanjung Malaysia sejak kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Asal usul mereka dikatakan dari Negeri China dan Tibet yang menyusul laluan penghijrahan melalui tanah besar Asia Tenggara sebelum bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia.
Kini, Orang Asli merupakan kelompok minoriti masyarakat peribumi di Semenanjung Malaysia (Nicholas, 2000; Sunaidin, 1997). Mereka dianggap minoriti kerana dengan penduduk seramai 132,000 orang pada tahun 2000, mereka hanya membentuk 0.5% dari jumlah keseluruhan penduduk negara (JHEOA, 2003). Walaupun dikelompokkan di bawah satu kaum yang sama serta mengamalkan kegiatan sosio-ekonomi yang hampir sama, Orang Asli bukanlah kelompok manusia homogemous. Ini kerana masyarakat Orang Asli telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan sukubangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000; Noraini Ali, 1999; Sunaidin 1997).
Pola taburan penduduk Orang Asli dalam Rajah 1, tertumpu di kawasan-kawasan sepanjang banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari negeri Perak-Kelantan, kemudiannya merentasi negeri-negeri Pantai Barat termasuk Selangor dan Negeri Sembilan, bahagian Barat negeri Pahang sehingga ke bahagian utara negeri Johor.
JHEOA telah membahagikan perkampungan Orang Asli kepada tiga kategori seperti dalam Jadual 2. Sebahagian besar daripada perkampungan Orang Asli berada di kategori pinggir yang mempunyai kemudahan asas dan boleh dihubungi dengan jalan berturap. Kira-kira 42 peratus perkampungan Orang Asli berada dalam kategori pendalaman dan belum mempunyai kemudahan asas yang sempurna serta sukar dihubungi. Hanya enam perkampungan berada dalam kategori bandar.
NEGRITO
Orang-orang Negrito hanya 3 peratus daripada keseluruhan sukubangsa Orang Asli dan merupakan sukubangsa terkecil (JHEOA, 2003). Mereka dipercayai kelompok manusia terawal atau tertua mendiami Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 25,000 tahun lampau (Carey, 1976). Secara fizikalnya, Orang Negrito (‘little Negroes’ seperti diistilahkan oleh Carey, 1976) berbadan rendah (1.5 meter atau kurang), berkulit gelap (gelap tembaga hingga hitam), berambut berkerinting keras, berhidung besar, mata bulat dan berpipi rendah. Berpandukan penemuan arkeologi terbaru, sukubangsa Negrito didapati mempunyai hubung kait rapat dengan orang Hoabin, yang hidup di zaman 8000 sebelum Masihi (Bellwood, 1997). Andaian ini disokong oleh Nicholas (2000) berdasarkan cara hidup Orang Negrito yang sebahagian besar masih menjadi peneroka hutan secara
nomad, tinggal di satu-satu lokasi selama mana sumber semulajadi yang diperoleh dari hutan mampu menampung keperluan kelompok mereka.
Majoriti taburan suku kaum ini dikesan terdapat di bahagian utara Semenanjung, khususnya di Perak dan Kelantan dan sebahagian kecil lagi di Kedah dan Pahang
SENOI
Orang Senoi merupakan kumpulan masyarakat Orang Asli yang terbesar merangkumi 54 peratus jumlah penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Mereka dipercayai berasal daripada keturunan bangsa Monggol yang berasal dari utara dan datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun 2000 sebelum Masihi (Nicholas, 2000). Secara fizikalnya, orang-orang Senoi mempunyai sedikit pebezaan dengan orang Negrito iaitu berbadan agak tinggi, berkulit lebih cerah dengan rambut beralun dan tidak kerinting.
Sebahagian besar mereka terdapat di bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Perak, Pahang dan Kelantan. Malah terdapat sebahagian kecil orang Senoi turut di kesan di negeri Selangor dan Terengganu
Mereka pada suatu ketika merupakan kelompok yang mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan bergantung sepenuhnya kepada hutan sebagai sumber kehidupan, tetapi telah mula beralih kepada aktiviti pertanian tetap (kecuali puak Mah Meri yang masih mengamalkan pertanian pindah) seperti menguruskan dusun sendiri, tanaman koko, getah dan kelapa sawit dan sektor upah sebagai pekerja berkemahiran atau buruh.
MELAYU-PROTO
Orang Melayu-Proto merupakan suku kaum kedua terbesar iaitu merangkumi 43 peratus dari jumlah penduduk Orang Asli di Semenanjung (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Kebanyakan masyarakat Melayu-Proto tertumpu di negeri-negeri selatan dan tengah Semenanjung (rujuk Jadual 6). Menurut Nicholas (2000), sejarah penghijrahan orang Melayu-Proto ke negeri-negeri di selatan (Johor dan Negeri Sembilan) tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana tidak mempunyai rekod atau sumber. Namun, dipercayai mereka adalah sebahagian kumpulan Orang Kuala yang berhijrah dari Sumatera kira-kira 500 tahun yang lampau.
Kajian oleh Mustaffa Omar (2004) dan Nicholas (2000) mendapati orang Melayu-Proto merupakan kelompok masyarakat yang paling tersusun, kebanyakannya terletak di kawasan pertanian tetap atau selat dan juga di pinggir laut bagi sumber perikanan. Orang Melayu-Proto juga mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding kaum Negrito dan Senoi dalam bidang professional dan keusahawanan. Ini disebabkan oleh kedudukan perkampungan mereka yang lebih hampir dan terdedah kepada masyarakat lain di luar bandar menyebabkan mereka lebih banyak menerima pengaruh pembangunan dan kemajuan.