Sunday, June 1, 2014

Kaum Kadazandusun


                          
                                                                
    
Kaum Kadazandusun.
Kaum Kadazan-Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah. Kaum ini juga dikenali sebagai "Momogun" atau "Mamasok" yang masing-masingnya bermaksud "orang asal" Kaum etnik Kadazan-Dusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus,Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.

Pada mulanya Tun Fuad Stephens, Huguan Siou (Pemimpin Agung) pertama Kadazan[2], mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan 14 suku kaum yang berkongsi kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang lebih besar. Ini dipersetujui oleh ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan atonomi lebih besar, dengan itu istilah Kadazan-Dusun dipilih sebagai tolak-ansur.
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman.

Lazimnya masyarakat daripada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami) daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota Marudu, Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan Kristian. Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat Selatan negeri Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan dan sedikit di Kota Belud (Tempasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini, rumah panjang jarang dilihat dalam etnik ini. Kebanyakannya telah mengalami pembangunan fizikal dan mental.

Istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik. Lagipun, perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun tidaklah begitu berbeza dan kasar.Beza antara bahasa Kadazan dan Dusun ialah seperti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.




Suku Kaum Yang Membentuk Kadazandusun.
Kadazandusun terdiri daripada empat puluh suku kaum Dusun dan Kadazan.
·         Bisaya
·         Bonggi
·         Bundu
·         Dumpas                                       
·         Gana

·         Garo
·         Idaan
·         Kimaragang
·         Kolobuan
·         Kuijau
·         Labuk
·         Lingkabau
·         Liwan
·         Lobu
·         Lotud
·         Lun Bawang/Lun Dayeh
·         Makiang
·         Malapi
·         Mangkaak/kunatong
·         Minokok
·         Murut
·         Ngabai
·         Paitan
·         Pingas
·         Rumanau
·         Rungus
·         Sinobu
·         Sinorupu
·         Sonsogon
·         Sukang
·         Sungai
·         Tagahas
·         Tatana
·         Tangara
·         Tidong
·         Tindal
·         Tobilung
·         Tolinting
·         Tombonuo
·         Tuhawon
·         Tutung




 
                                                                                                            



     

    



     





                          



Perayaan

Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan tuaian baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain Sabah. Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau unduk ngadau, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita"
Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan' dalam bahasa Kadazandusun.
Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoringan(Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koududuwo (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat).
Menurut kepercayaan Kadazan, semangat padi merupakan Kinoingan (Kinorohingan dalam dialek Dusun) yang dikenali sebagai Bambaazon, disembah sebagai pencipta dan berkuasa sumber kepada kewujudan. Semangat padi Bambaazon dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria. Selain menari Sumazau dengan alat muzik tradisi, tapai (arak beras) dihidangkan sebagai minuman istimewa. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.

       Makanan tradisional

Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazan-Dusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan-Dusun.

Tarian tradisional

Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.
Irama Sumazau adalah perlahan. Alat alat pengiring tarian adalah set gong dan gendang. Pasangan penari berhadapan dan menggerak-gerakkan kaki berlangkah kecil, sementara tumit kaki diangkat-turunkan mengikut irama. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa hari keramaian majlis jamuan Pesta Kaamatan.

Pakaian tradisional

·        Pakaian Tradisional Suku Kaum Kadazan Penampang
Baju ini selalunya menggunakan kain hitam yang bersulamkan benang emas. Ia dipakai semasa sambutan Pesta Menuai.
·        Pakaian Tradisional Suku Kaum Dusun Tindal Kota Belud dipanggil ' Sinipak '.


   















Rujukan


                                                                   

                    The A to Z of Malaysia, By Ooi Keat Gin


Thursday, May 1, 2014

ORANG ASLI DI MALAYSIA

Siapakah Orang Asli?
Siapakah yang dikatakan warga peribumi? Menurut Hasan Mat Nor (1998), umumnya istilah peribumi digunakan bagi merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara di mana mereka ini telah datang di wilayah tersebut lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat. Pernyataan ini walau bagaimanapun dilihat masih umum serta kabur untuk digunakan memandangkan semakan lanjut mendapati terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan bagi merujuk kepada masyarakat peribumi iaitu istilah peribumi, bumiputera dan Orang Asli. Bahagian awal artikel ini mengupas istilah-istilah berkenaan peribumi dengan tujuan meluaskan pengetahuan dan mengelak daripada kekeliruan akibat salah tafsiran, seterusnya mendapatkan definisi sesuai untuk diterimapakai di dalam artikel ini.
Kamus Dewan memberi takrif peribumi sebagai ‘penduduk asli’ dan juga bumiputera (DBP, 1964). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentaktifkan peribumi sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa peribumi merupakan istilah umum yang digunakan bagi merujuk kepada semua kelompok manusia yang dianggap sebagai penghuni asal atau terawal di Malaysia.
Manakala, di bawah istilah peribumi ini barulah muncul dua istilah yang lebih spesifik digunakan bagi membezakan status kumpulan-kumpulan ‘para penduduk asal’ ini iaitu bumiputera dan Orang Asli. Hasan Mat Nor (1998) telah mengemukakan takrifan masyarakat peribumi menurut klasifikasi perundangan di mana terdapat dua kelompok warga peribumi di Malaysia iaitu bumiputera dan Orang Asli. Menurut beliau, kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai bumiputera adalah meliputi Orang Melayu di Semenanjung; Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau, Murut serta penduduk-penduduk natif lain di Sarawak; dan Orang Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau dan penduduk-penduduk natif lain di Sabah. Manakala Orang Asli pula meliputi tiga kelompok etnik utama dikenal sebagai Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (Hasan Mat Nor, 1998; Sunaidin, 1997). Pengkaji terkemudian seperti Nicholas (2000) mentakrifkan panggilan ‘Orang Asli’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘masyarakat pertama’ yang mendiami Semenanjung Malaysia.
Perbezaan maksud istilah bumiputera dan Orang Asli dapat dilihat dengan merujuk kepada definisi di dalam perlembagaan negara dan juga Akta Orang Asli 1954 (Malaysia, 1974). Menurut (fasal) perlembagaan, istilah bumiputera membawa maksud yang lebih luas dan merangkumi keseluruhan Malaysia. Manakala, Akta 134 iaitu akta khusus bagi Orang Asli hanya boleh dikuatkuasakan bagi Semenanjung Malaysia, menetapkan 4 syarat utama bagi mendefinisikan Orang Asli iaitu:
a) Mana-mana orang yang bapanya adalah dari rumpun bangsa Orang Asli yang bercakap dalam bahasa Orang Asli yang lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan. Ini termasuklah keturunan Orang Asli itu; mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh Orang Asli dan adalah seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.
b) Anak dari apa-apa persatuan antara seseorang perempuan Orang Asli dengan seseorang lelaki dari kaum lain dengan syarat bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli yang adat dan kepercayaan Orang Asli yang masih lagi menjadi seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.
c) Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli kerana ia telah masuk sesuatu agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, ia masih mengikut cara hidup Orang Asli serta bercakap dalam bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi seseorang Orang Asli semata-mata oleh sebab ia mungkin mengamalkan agama itu.
d) Apa-apa soal sama ada seseorang adalah Orang Asli atau bukan Orang Asli hendaklah diputuskan oleh Menteri.
Daripada definisi yang dibincangkan di atas, didapati masyarakat Orang Asli merupakan warga peribumi (golongan penduduk asal) Malaysia, namun agak berbeza dengan kelompok penduduk yang diistilahkan sebagai masyarakat bumiputera. Ini kerana peruntukan di dalam akta telah jelas bahawa istilah Orang Asli hanya digunakan bagi menjelaskan status penduduk asal di Semenanjung Malaysia, manakala lain-lain kaum asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Melayu di Semenanjung diistilahkan sebagai bumiputera. Oleh yang demikian, maksud dan penggunaan istilah ‘Orang Asli’ di dalam artikel ini hanya akan merujuk kepada 3 kumpulan etnik Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.
Orang Asli adalah penduduk terawal tinggal di Semenanjung Malaysia sejak kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Asal usul mereka dikatakan dari Negeri China dan Tibet yang menyusul laluan penghijrahan melalui tanah besar Asia Tenggara sebelum bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia.
Kini, Orang Asli merupakan kelompok minoriti masyarakat peribumi di Semenanjung Malaysia (Nicholas, 2000; Sunaidin, 1997). Mereka dianggap minoriti kerana dengan penduduk seramai 132,000 orang pada tahun 2000, mereka hanya membentuk 0.5% dari jumlah keseluruhan penduduk negara (JHEOA, 2003). Walaupun dikelompokkan di bawah satu kaum yang sama serta mengamalkan kegiatan sosio-ekonomi yang hampir sama, Orang Asli bukanlah kelompok manusia homogemous. Ini kerana masyarakat Orang Asli telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan sukubangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000; Noraini Ali, 1999; Sunaidin 1997).
Pola taburan penduduk Orang Asli dalam Rajah 1, tertumpu di kawasan-kawasan sepanjang banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari negeri Perak-Kelantan, kemudiannya merentasi negeri-negeri Pantai Barat termasuk Selangor dan Negeri Sembilan, bahagian Barat negeri Pahang sehingga ke bahagian utara negeri Johor.
JHEOA telah membahagikan perkampungan Orang Asli kepada tiga kategori seperti dalam Jadual 2. Sebahagian besar daripada perkampungan Orang Asli berada di kategori pinggir yang mempunyai kemudahan asas dan boleh dihubungi dengan jalan berturap. Kira-kira 42 peratus perkampungan Orang Asli berada dalam kategori pendalaman dan belum mempunyai kemudahan asas yang sempurna serta sukar dihubungi. Hanya enam perkampungan berada dalam kategori bandar.
NEGRITO
Orang-orang Negrito hanya 3 peratus daripada keseluruhan sukubangsa Orang Asli dan merupakan sukubangsa terkecil (JHEOA, 2003). Mereka dipercayai kelompok manusia terawal atau tertua mendiami Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 25,000 tahun lampau (Carey, 1976). Secara fizikalnya, Orang Negrito (‘little Negroes’ seperti diistilahkan oleh Carey, 1976) berbadan rendah (1.5 meter atau kurang), berkulit gelap (gelap tembaga hingga hitam), berambut berkerinting keras, berhidung besar, mata bulat dan berpipi rendah. Berpandukan penemuan arkeologi terbaru, sukubangsa Negrito didapati mempunyai hubung kait rapat dengan orang Hoabin, yang hidup di zaman 8000 sebelum Masihi (Bellwood, 1997). Andaian ini disokong oleh Nicholas (2000) berdasarkan cara hidup Orang Negrito yang sebahagian besar masih menjadi peneroka hutan secara
nomad, tinggal di satu-satu lokasi selama mana sumber semulajadi yang diperoleh dari hutan mampu menampung keperluan kelompok mereka.
Majoriti taburan suku kaum ini dikesan terdapat di bahagian utara Semenanjung, khususnya di Perak dan Kelantan dan sebahagian kecil lagi di Kedah dan Pahang
SENOI
Orang Senoi merupakan kumpulan masyarakat Orang Asli yang terbesar merangkumi 54 peratus jumlah penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Mereka dipercayai berasal daripada keturunan bangsa Monggol yang berasal dari utara dan datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun 2000 sebelum Masihi (Nicholas, 2000). Secara fizikalnya, orang-orang Senoi mempunyai sedikit pebezaan dengan orang Negrito iaitu berbadan agak tinggi, berkulit lebih cerah dengan rambut beralun dan tidak kerinting.
Sebahagian besar mereka terdapat di bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Perak, Pahang dan Kelantan. Malah terdapat sebahagian kecil orang Senoi turut di kesan di negeri Selangor dan Terengganu
Mereka pada suatu ketika merupakan kelompok yang mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan bergantung sepenuhnya kepada hutan sebagai sumber kehidupan, tetapi telah mula beralih kepada aktiviti pertanian tetap (kecuali puak Mah Meri yang masih mengamalkan pertanian pindah) seperti menguruskan dusun sendiri, tanaman koko, getah dan kelapa sawit dan sektor upah sebagai pekerja berkemahiran atau buruh.
MELAYU-PROTO
Orang Melayu-Proto merupakan suku kaum kedua terbesar iaitu merangkumi 43 peratus dari jumlah penduduk Orang Asli di Semenanjung (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Kebanyakan masyarakat Melayu-Proto tertumpu di negeri-negeri selatan dan tengah Semenanjung (rujuk Jadual 6). Menurut Nicholas (2000), sejarah penghijrahan orang Melayu-Proto ke negeri-negeri di selatan (Johor dan Negeri Sembilan) tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana tidak mempunyai rekod atau sumber. Namun, dipercayai mereka adalah sebahagian kumpulan Orang Kuala yang berhijrah dari Sumatera kira-kira 500 tahun yang lampau.
Kajian oleh Mustaffa Omar (2004) dan Nicholas (2000) mendapati orang Melayu-Proto merupakan kelompok masyarakat yang paling tersusun, kebanyakannya terletak di kawasan pertanian tetap atau selat dan juga di pinggir laut bagi sumber perikanan. Orang Melayu-Proto juga mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding kaum Negrito dan Senoi dalam bidang professional dan keusahawanan. Ini disebabkan oleh kedudukan perkampungan mereka yang lebih hampir dan terdedah kepada masyarakat lain di luar bandar menyebabkan mereka lebih banyak menerima pengaruh pembangunan dan kemajuan.

Wednesday, April 16, 2014

Panduan Kesihatan Gigi Kanak-Kanak.

Penjagaan gigi dan gusi
Aspek yang terpenting bagi penjagaan gigi dan gusi ialah kebersihan mulut yang baik sama ada di rumah mahupun ketika di dalam bilik pembedahan bersama doktor gigi. Kebanyakan gigi hilang/tercabut disebabkan penyakit gusi dan masalah ini boleh diatasi dengan penjagaan di rumah yang sempurna dan temujanji berkala dengan doktor gigi.


Kepentingan gigi primer (gigi susu)
Sepertimana gigi kekal sepatutnya bertahan sepanjang hayat, gigi susu juga sepatutnya tahan sehingga gigi kekal mula tumbuh. Gigi susu kanak-kanak digunakan untuk mengunyah makanan dengan sempurna, bercakap dengan jelas dan memupuk rasa harga diri yang baik. Ia juga menyediakan ruang di dalam rahang untuk gigi kekal tumbuh. Ini dapat mengelakkan gigi kekal tumbuh senget atau bertindih. Adalah penting untuk melindungi anak anda dari kerosakan/pereputan gigi susu yang menyakitkan.


Panduan Penjagaan Oral

Baru lahir hingga 24 bulan
� Bersihkan mulut kanak-kanak dengan kain kasa atau kain selepas makan dan sebelum tidur.
� Elakkan membiar bayi anda tertidur dengan botol susu di dalam mulutnya kecuali ia diisi dengan air kosong sahaja.
� Mengatur tabiat makan anak anda.
� Berhentikan anak anda secara beransur-ansur dari susu badan atau botol apabila mencapai umur 1 tahun.
� Berjumpa dengan doktor gigi apabila gigi pertama muncul atau jika gigi pertama tidak muncul setelah anak anda mencapai umur 1 tahun.
� Gosok gigi dengan menggunakan berus gigi yang kecil dan lembut selepas makan dan sebelum tidur.
� Teruskan mencuci bahagian-bahagian dalam mulut yang lain dengan kain kasa atau kain.
� Berbincang dengan doktor gigi atau pakar kanak-kanak mengenai tambahan florida.


Umur 2-6 tahun
� Ibu bapa perlu terus membersihkan mulut anak-anak dan membenarkan mereka mengambil bahagian berdasarkan minat dan kebolehan.
� Mula menggunakan flos di bahagian-bahagian gigi yang rapat.
� Berjumpa doktor gigi untuk pembersihan gigi secara berkala.
Umur 6-12 tahun
� Mula memindahkan tanggungjawab memberus dan flos gigi kepada kanak-kanak di bawah pengawasan ibu bapa. Umur 8 tahun adalah purata umur kanak-kanak mampu memberus gigi sendiri. Manakala flos gigi boleh dilakukan sendiri apabila mencapai umur 10 tahun.
� Kanak-kanak harus memberus gigi menggunakan teknik dan jenis berus gigi yang disyorkan oleh doktor gigi mereka.
� Menggunakan pengedap (sealant) untuk gigi geraham kekal.
� Jika perlu teruskan mengambil florida tambahan seperti yang telah dipreskripsikan oleh doktor.


Kanak-kanak dari semua peringkat umur
� Tukar berus gigi setiap 3-4 bulan sekali.� Berus gigi dua kali sehari, iaitu selepas makan sarapan pagi dan sebelum tidur.


Masalah oral yang umum

Plak dan kalkulus
Plak merupakan lapisan nipis dan melekit mengandungi bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut. Ianya lembut dan mudah dihilangkan dengan memberus gigi atau flos. Selepas makan, sisa makanan akan ditukarkan menjadi plak melalui tindakan penguraian bakteria. Jika dibiarkan, plak ini akan menebal dan bakteria akan membiak. Jika ia tidak dibersihkan dalam masa 24 jam, plak ini akan mula mengeras disebabkan enapan garam kalsium dari air liur dan membentuk kalkulus, ataupun tartar. Struktur enapan yang keras dan melekat kuat ini hanya dapat disingkirkan melalui pembersihan gigi oleh doktor iaitu "pengikisan".

Penyakit Periodontal
Penyebab etiologi utama bagi penyakit periodontal ialah pengumpulan plak bakteria. Apabila plak terbentuk di sepanjang permukaan gusi, ia akan menyebabkan gusi membengkak dan mudah berdarah. Ini dikenali sebagai gingivitis. Jika plak ini tidak disingkirkan, toksin akan menyebabkan gusi lekang dari gigi dan membentuk lekuk di antara gigi dan gusi. Jangkitan di bahagian ini akan memusnahkan gentian yang memegang gigi di tempatnya. Tulang penyokong gigi juga akan rosak. Keadaan ini dikenali sebagai periodontitis.

Karies gigi
Karies gigi merupakan penyakit disebabkan mikrob yang memusnahkan gigi. Ia menjejaskan tisu-tisu gigi yang keras (enamel). Sesetengah bakteria plak akan menghasilkan asid dari karbohidrat; asid ini akan melarutkan enamel gigi dan membentuk lesi karies yang akhirnya memusnahkan gigi jika tidak dirawat.

Penjagaan sendiri
� Makanlah makanan yang seimbang dan pelbagai.
� Gosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari sebaik sahaja selepas makan. Jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan, berkumurlah dengan air.
� Gunakan ubat gigi berflorida atau jel untuk menguatkan struktur enamel gigi.
� Jalani pemeriksaan dengan doktor gigi setiap 6 bulan - mulakan pemeriksaan gigi anak-anak anda pada umur 3 tahun.
� Gunakan alat pelindung mulut jika anda terlibat dalam sukan seperti bolasepak dan hoki.
� Sentiasa memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu.
� Jika anda menghadapi masalah mengunyah gigi semasa tidur, dapatkan nasihat doktor gigi sama ada anda perlu memakai alat tertentu untuk mengelakkan dari menggesel gigi.
� Jangan mengunyah ais, pen atau pensil.
� Jangan gunakan gigi untuk membuka klip kertas dan lain-lain.
� Jika anda menghisap paip, jangan menggigit batang paip tersebut.
� Berhenti mengambil alkohol dan menggunakan produk daripada tembakau.
� Elakkan daripada menghisap buah lemon atau mengunyah aspirin dan pil vitamin C, mengambil minuman ringan, gula-gula, kek, pastri, karbohidrat yang halus (telah disaring) dan apa-apa bentuk gula. Mengambil makanan bergula menyebabkan bakteria membentuk asid yang akan ­memakan­ gigi. Asid ini akan menghakis enamel gigi.


Memberus gigi
Jika boleh beruslah gigi anda setiap kali selepas makan. Jika tidak beruslah gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari - selepas sarapan dan sebelum tidur dan berkumurlah selepas setiap kali makan dan snek.

Pemberusan yang sempurna melibatkan pemilihan dan penjagaan berus gigi serta penggunaannya yang betul. Terdapat banyak jenis berus gigi yang boleh didapati dipasaran dalam pelbagai saiz, bentuk dan panjangnya. Ciri-ciri yang penting semasa memilih berus gigi ialah:
� Pemegang yang mudah dikendalikan.
� Kepalanya leper dan disesuaikan supaya boleh sampai ke mana-mana bahagian mulut.
� Permukaan berus yang padat.
� Bulu-bulu berusnya diperbuat daripada filamen nilon yang lembut, panjang menirus, anjal dan berbentuk bulat di hujungnya.


Terdapat 3 kaedah memberus gigi yang boleh dipilih. Bagaimanapun, tidak kira teknik mana yang dipilih, ketelitian anda memberus yang menentukan kebersihan gigi, bukannya sekuat mana atau sekerap mana.


Semua teknik memberus berikut boleh digunakan:
� Letakkan kepala berus gigi pada sudut 450 di sisi barisan gigi. Dengan perlahan gosokkan di sepanjang pangkal gigi-gusi dan permukaan setiap gigi.
� Letakkan berus gigi di sepanjang pangkal gigi-gusi dan berus dengan gerakan memusing atau menyapu menghala ke permukaan gigi.
� Putarkan berus dalam gerakan membulat di sepanjang pangkal gigi-gusi dan permukaan gigi.
� Dalam semua kaedah di atas, gusi dan juga lidah perlu di berus kerana ia biasanya mengandungi kuman.


Kaedah-Kaedah Memberus
1. Gerakan membulat.: Putar berus dalam gerakan membulat dari pangkal gigi-gusi mengelilingi permukaan gigi.

2. Gerakan menggetar : Pegang berus pada kedudukan 450 di sisi barisan gigi dan gosokkannya di sepanjang permukaan pangkal gigi-gusi dan di atas permukaan gigi.

3. Gerakan menyapu: Letakkan berus pada pangkal gigi-gusi dan sapu atau pusingkan berus menghala ke permukaan gigi.


Teknik memberus yang betul
� Bersihkan permukaan luar gigi atas, diikuti dengan permukaan luar gigi bawah.
� Bersihkan permukaan dalam gigi atas.
� Bersihkan permukaan dalam gigi bawah.
� Akhirnya bersihkan permukaan mengunyah gigi atas, diikuti gigi bawah.


Teknik flos
Flos gigi yang dilakukan secara tekal dapat membersihkan plak dan partikel makanan dari celah-celah gigi yang tidak dapat dicapai dengan berus gigi. Flos juga merupakan alat yang penting untuk mencegah penyakit gusi. Bagaimanapun, jika gusi di antara gigi tersebut sudah menjadi rata/leper, menyusut dengan teruk, atau membentuk lekuk yang dalam (lekang dari gigi), kaedah flos tidak lagi berkesan.

Teknik flos yang berkesan
� Tegangkan lebih kurang 1 inci flos di antara dua jari. (Memegang lebih dari satu inci flos akan menyebabkan kurang kawalan oleh jari semasa menggerakkannya di celah gigi).
� Untuk membersihkan gigi, gerakkan flos ke atas dan ke bawah juga ke depan dan ke belakang secara lembut dan perlahan-lahan.
� Untuk membersihkan gusi, lengkungkan flos di sekeliling bahagian dasar gigi.
� Dengan perlahan-lahan, gerakkan flos berulang kali ke belakang dan ke depan di bawah gusi.
� Untuk mengeluarkan flos, gunakan pergerakan yang sama iaitu ke belakang dan ke depan untuk menggerakkannya ke luar dan menjauhi gigi. Jangan memaksa atau merentap flos (semasa memasukkan atau semasa mengeluarkannya). Ini mungkin akan mencederakan atau menyebabkan tisu gusi yang lembut menjadi lebam.


Bila anda perlu berjumpa doktor gigi?
� Anda merasa sakit gigi apabila memakan makanan yang manis, sangat panas atau sangat sejuk.
� Rasa dalam mulut yang tidak sedap berpunca darii makanan atau bakteria yang terperangkap di dalam rongga.
� Gigi berlubang.� Gusi berdarah semasa memberus gigi.� Gusi bengkak, kemerahan dan sensitif.� Gusi menyusut.� Gigi longgar.� Terdapat ruang di antara gigi (gigi menjadi jarang).� Gigi yang terdedah di sepanjang garis gusi (pangkal gigi-gusi).� Nafas terus-terusan berbau.� Terdapat nanah di sekitar gusi dan gigi.

Tuesday, April 15, 2014

MATA PELAJARAN SEJARAH DAN PERANAN


Dalam pendidikan sekolah rendah memang tidak ada mata pelajaran sejarah atau subjek yang menyentuh mengenainya. Sukatan pelajaran sejarah bermula pada tahap menengah rendah iaitu pada Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima dengan penumpuan adalah kepada Sejarah Malaysia.

Penumpuan pengajaran sejarah tidak harus kepada sejarah negara saja. Ia tidak bererti kita mengetepikan kepentingan sejarah negara. Mata pelajaran sejarah harus diperluaskan kepada sejarah dunia. Pada peringkat awal, pelajar boleh diajar menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia.
Pelajar harus memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian itu dan sejarah dapat mengajar kita memahami kekayaan budaya yang wujud di dunia. Dengan wujudnya fenomena globalisasi dan semakin sempitnya dunia, maka, keperluan untuk mempelajari dan memahami sejarah dunia ini amat penting dalam membina insan yang menyeluruh.

Saya cadangkan diambil satu pendekatan bersepadu dengan merombak atau menggantikan mata pelajaran sivik dan kajian tempatan dalam kurikulum sekolah rendah sekarang dan digantikan dengan pengajian sosial. Pengajian sosial adalah satu subjek yang mengkaji masyarakat, termasuk sejarah, sivik, geografi dan ekonomi.
Pendekatan bersepadu ini mengintegrasikan pengetahuan sejarah dengan geografi, ekonomi dan sebagainya bertujuan menyediakan pelajar memahami komuniti dan masyarakat mereka, negara dan dunia yang mereka tinggal supaya mampu menjadi warga negara dan warga dunia yang bertanggungjawab di mana mereka dapat sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara dan dunia kerana kita kini tinggal dalam satu global village. Harus diingatkan bahawa komponen sejarah menjadi komponen utama di sini.
Pengajian sosial ini sudah lama diajar di Barat dan di kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah dan tadika bertujuan melahirkan warga negara prihatin dalam segala segi, peka akan kepentingan masyarakat, politik dan mempamerkan sifat/sikap menghormati kepentingan awam.

Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan mata pelajaran ini pada 2010 sesuai dengan Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah dan akan dimasukkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013. Apakah silibus sesuai dan usia pengenalan?

Sejarah sebenarnya mampu mengukuhkan proses pembelajaran asas pelajar. Sejarah membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, berkomunikasi dan sebagainya yang sememangnya tidak wujud dalam kurikulum pendidikan kita sehingga kita melahirkan pelajar robot yang hanya pandai menghafal fakta tetapi tidak boleh berkomunikasi dan berfikir dengan baik. Lebih teruk tiada keyakinan langsung untuk berhujah atau mempertahankan pegangan atau prinsip yang mereka perjuangkan.
Pada saya, usia terbaik diajar sejarah adalah pada usia lapan tahun tetapi pembelajaran perlu menarik dan menimbulkan minat mereka. Jika peringkat menengah baru hendak bermula, bermakna kita sudah terlewat. Pada saya, dalam usia remaja, sudah ada nilai yang terbentuk dan sebati dengan jiwa mereka, jadi sukar menanamkan minat terhadap sejarah.

Bagaimana mata pelajaran sejarah ini boleh membantu generasi muda memahami perjuangan dan pembangunan negara?
Sejarah menyediakan pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan teladan dan panduan hidup. Ini membina ciri kemanusiaan yang lebih cemerlang, menanam perasaan simpati dan empati supaya perjuangan tokoh awal dihargai dan dikenang dan kekal dalam kesedaran pelajar supaya dapat merujuk kepada nilai perjuangan insan yang murni menjadi ikutan dan teladan. Tokoh sejarah boleh dijadikan role model yang boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya.
Untuk mewujudkan pembuat polisi yang baik kita perlu melihat kepada pembentukan polisi yang awal, kebaikan dan kegagalannya, ini diperoleh daripada sejarah, belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya.
Contoh terbaru, formula Malaysia atau orang kata formula Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam menangani kegawatan ekonomi nampaknya diterima Amerika Syarikat, pada waktu ini. Ia bermakna mereka belajar daripada sejarah yang dibentuk Malaysia.
Adakah kita sudah terlewat dan perlukah mata pelajaran ini diwajibkan?
Masih tidak terlambat. Di mana-mana di dunia mata pelajaran sejarah adalah subjek yang penting. Tidak kira sama ada kita sudah lebih 200 atau 300 tahun merdeka.
Perlu diwajibkan, kalau tidak ramai yang tidak akan mengambil mata pelajaran sejarah kerana menganggap ia tidak penting. Ada yang dipengaruhi oleh ibu bapa yang buta sejarah dan tidak nampak kepentingan sejarah kerana semata-mata mengejar mata pelajaran yang boleh menjanjikan pulangan yang besar pada masa depan. Mata pelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sistem pendidikan serta mampu melahirkan pelajar yang holistik.

Apakah ketiadaan pengajaran sejarah selama ini memberikan kesan kepada generasi muda sekarang yang 'buta' sejarah?
Ya, saya bersetuju, sifat buta sejarah ini wujud kerana pertama, pengenalan pelajar kepada sejarah pada masa kini bermula pada usia agak lewat menyebabkan ramai pelajar tidak memahami apatah lagi menghargai sumbangan sejarah dalam hidup mereka.
Sudah tentu, dengan ini mereka tidak memahami atau menghargai sumbangan atau persefahaman yang diwujudkan oleh pemimpin terdahulu. Bagaimana wujudnya Malaysia sebagaimana adanya hari ini adalah hasil usaha pemimpin awal negara? Mereka tidak tahu untuk memahami perkembangan masa kini atau untuk melihat ke depan mereka harus belajar daripada sejarah.
Kedua, pendekatan sejarah oleh guru juga salah satu faktor yang menyumbang kepada ketiadaan minat pelajar mendalami atau menghargai sejarah.

Apakah cadangan Dr supaya keadaan ini dapat diperbetulkan?
Pertama, adalah satu cadangan yang baik mata pelajaran sejarah diperkenalkan kepada peringkat rendah tetapi sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, ia mengambil pendekatan bersepadu melalui subjek pengajian sosial.
Kedua, harus ada perubahan dalam pedagogi. Kaedah pengajaran yang lapuk dan tidak menarik menyebabkan pelajar bosan. Perspektif atau anggapan bahawa sejarah itu hanyalah satu subjek yang memerlukan seseorang itu menghafal fakta patut diubah. Pendekatan interaktif harus ditekankan.
Pelajar contohnya, ingin mengetahui dan mengalami dan menyelami peristiwa sejarah itu sendiri dan ia melahirkan emosi dan 'sense of attachment' kepada warisan dan legasi sejarah. Dengan itu, pendekatan pengajaran sejarah haruslah menarik, dengan melawat tempat bersejarah, penggunaan visual seperti gambar lama, kartun, simbol dan sebagainya amat penting dalam memupuk minat terhadap sejarah. Jika diperkenalkan pada tahap yang rendah, mata pelajaran sejarah ini harus menarik persembahannya.
Ketiga, pembinaan kurikulum yang menarik, efektif dan berkesan serta bersifat 'interdisciplinary' kepada pelajar sekolah rendah. Kurikulum yang terkini selari dengan tuntutan dan perkembangan semasa ini harus bersifat inklusif dan bukan eksklusif supaya sumbangan setiap individu, komuniti dan masyarakat pada peringkat negara dan dunia akan dihargai. Pembinaan kurikulum sejarah untuk sekolah rendah harus ada kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian, pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.
Keempat, penggunaan teknologi baru seperti ICT. Ini menjadi amalan sejarawan Barat dan bagaimana mereka mengintegrasi sejarah dengan alatan media seperti komputer, internet, pemain cakera padat (CD-ROM), video, kamera digital dan papan kenyataan interaktif serta blog.

Ilmu sejarah membina Negara


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan subjek Sejarah wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjelang 2013. Muhyiddin kemudian menekankan betapa pentingnya metodologi subjek ini melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini.

Langkah memperkenalkan lulus wajib subjek Sejarah ini bertujuan, pertamanya, memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia. Kedua, menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Akhir sekali memperkasakan legasi sejarah Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan perjuangan 1Malaysia.

Tindakan ini harus dipandang serius kerana, berbeza dengan masyarakat Barat contohnya, masyarakat Malaysia yang rata-rata buta sejarah sering meremehkan kepentingan ilmu sejarah dan jarang memberi penghormatan kepada para sejarawan yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara melalui usaha penyelidikan dan penulisan sejarah negara dan bangsa.

Usaha ini memerlukan pengorbanan masa serta kebijakan membuat intepretasi tanpa sebarang sifat prejudis, propaganda, dan stereotaip. Sejarah yang bernas ditulis berlandaskan fakta dan bukti serta intepretasi yang matang yang mengambil kira bukan sahaja konteks tempatan tetapi juga dunia.

Selain konteks satu lagi kriteria penting ilmu sejarah adalah periodisasi. Sejarah harus bermula dari awal ketamadunan manusia dan sekiranya boleh berakhir sehingga masa kini.

Langkah wajib lulus sejarah ini amat bertepatan pada waktunya terutama apabila perpaduan masyarakat Malaysia tercabar hasil perpecahan politik dan tuntutan atau tindakan melampau sesetengah pihak yang mula mempersoalkan keluhuran perlembagaan Malaysia.

Malah ada yang mula membuat interpretasi tersendiri tanpa merujuk sejarah perlembagaan itu sendiri.

Perlembagaan Malaysia merupakan satu-satunya 'kerangka asas' (fundamental framework) dan prinsip yang diperjuangkan oleh perlembagaan ini patut dijadikan panduan dan inspirasi. Maka bagi generasi muda memahami dan menghargai sejarah negara, mereka patut menghayati dan meluhurkan perlembagaan.

Jadi, pengajaran dan pembelajaran sejarah Malaysia sepatutnya mengandungi penghayatan perlembagaan sebagai satu asas dan landasan.

Pengajaran dan pembelajaran sejarah merupakan satu aspek pembinaan kenegaraan yang kritikal dan penting. Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini. Justeru, dari perspektif ini, ilmu sejarah yang disampaikan harus mengandungi 'naratif kepelbagaian' (plural narratives) yang mencerminkan corak latar belakang etnik, bahasa, dan budaya.

Langkah ini akan membawa kepada pemuliharaan keunikan politik, ekonomi dan sosio-budaya Malaysia terutama apabila ada pihak tertentu yang cuba menulis kembali dan memadam aspek-aspek penting dalam sejarah Malaysia bagi kepentingan peribadi atau politik masing-masing.

Memang bukan mudah untuk memastikan keseimbangan yang wajar dan memberikan ruang 'secukupnya' kepada semua pihak bagi mencerminkan kepelbagaian ini.

Walau bagaimanapun, sejarah sesebuah negara sudah tentu akan lebih mencerminkan masyarakat perdana walaupun penekanan kepada masyarakat minoriti harus juga diberi perhatian.

Lihat sahaja sejarah Amerika Syarikat umpamanya, sejarahnya lebih menjurus kepada masyarakat kulit putih yang datang dari negara Eropah terutamanya yang kemudiannya membentuk majoriti penduduk negara tersebut.

Tetapi perbincangan yang menjurus kepada sejarah golongan pribumi dan minoriti seperti masyarakat Amerika berketurunan Afrika, masyarakat hispanic atau Asia ada dibincangkan tetapi tidak sehingga mengatasi sejarah masyarakat perdana.

Tujuan ataupun objektif pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan hanya untuk mendalamkan pengetahuan generasi muda mengenai latar belakang dan profail negara malah untuk memupuk semangat patriotisme dan menyemarakan lagi sikap bertolak-ansur, toleransi, saling hormat-menghormati diantara kaum dan agama serta bahasa dan budaya.

Dengan kata lain, ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan menanam suatu identiti nasional atau kebangsaan yang meliputi aspek kewarganegaraan dan sekali gus keturunan di mana kedua-dua aspek ini tidak sama sekali bercanggah.

Pembinaan dan pembangunan negara bergantung kepada usaha bersepadu rakyat pelbagai yang mempunyai warisan sejarah dan masa depan bersama (shared past and shared future). Maka, pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan semata-mata mengetahui atau menghafal sedikit sebanyak detik-detik dan peristiwa lampau.

Imbasan (reflections) sebegini tidak memanfaatkan pelajar dan masyarakat amnya. Yang paling penting adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman pelajar sekaligus memupuk nilai-nilai bersama (common values) dan identiti bersama (shared identity) yang menjadi panduan, iktibar dan pegangan bagi memacu halatuju negara.

Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Usaha sebegini dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama menghayati dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan.

Sekiranya penambahan subjek Sejarah dalam kurikulum sekolah rendah dianggap membebankan, maka kita boleh melihat contoh dan amalan negara Barat dalam menghayati ilmu sejarah.

Ilmu sejarah digabung dengan pelbagai bidang ilmu lain seperti sivik, kewarganegaraan, geografi, ekonomi dan lain-lain dalam satu bidang yang dikenali sebagai pengajian sosial atau mungkin lebih sesuai dinamakan pengajian kemanusiaan. Ini selari dengan tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang menganjurkan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah.

Gabungan pelbagai disiplin ilmu ini atau pendekatan multidisciplinary ini merupakan satu metodologi pendidikan yang semakin dititikberatkan oleh institusi pendidikan kebelakangan ini.

Pendekatan multidisciplinary dengan ilmu sejarah sebagai komponen utama ini dapat membina kematangan pelajar dalam menganalisis peristiwa masa lalu, masa kini dan membuat keputusan di masa akan datang. Ilmu Sejarah mampu membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, dan yang paling penting berkomunikasi di kalangan pelajar sekali gus melahirkan pelajar yang holistik.

Ilmu Sejarah membicarakan interaksi antara manusia terutamanya, maka, subjek pengajian kemanusiaan ini mengkaji masyarakat terutamanya dapat menimbulkan minat pelajar untuk memahami dan menghayati kepentingan interaksi antara manusia ini.

Maka subjek Sejarah menjadi lebih menarik apabila dapat diperluaskan kepada sejarah dunia bagi menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia dan seterusnya memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian serta kekayaan budaya yang wujud di dunia. Fenomena globalisasi yang menjadikan dunia ini semakin sempit menyebabkan sejarah dunia menjadi satu elemen penting dalam membina insan yang menyeluruh.

Ciri-ciri sivik seperti toleransi, empati, sifat inclusive, menghormati komuniti, mengutamakan kepentingan awam dan sebagainya amat penting dalam melahirkan warga negara dan warga dunia yang perihatin lagi bertanggunjawab.

Ini selari dengan trend pendidikan di dunia baik di peringkat rendah mahupun peringkat pengajian tinggi yang mula mengutamakan liberal studies kerana mampu melahirkan individu atau pelajar yang versatile, yang luar biasa kemahiran berfikir dan kepakarannya dalam berhujah serta kreativitinya dalam menghasilkan penulisan dan penerbitan.

Di institusi pendidikan ternama kombinasi liberal studies dengan disiplin sejarah mula mendapat sambutan dan graduan yang menerima pendidikan yang holistik ini rata-rata lebih mudah mendapat pekerjaan dan disukai majikan.

Nilai kemanusiaan yang dipupuk melalui ilmu sejarah ini tidak dapat dinilai harganya. Maka sekiranya disiplin lain disanjung kerana nilai ekonominya oleh masyarakat Malaysia yang semakin materialistik, maka subjek Sejarah harus dimartabatkan kerana ciri-ciri kemanusiaan yang ditanam dan dipupuk di dalam jiwa pelajar.

Aspek kemanusiaan ini memerlukan masa yang panjang untuk dipupuk, dibina dan diperteguhkan.

Maka adalah sesuai sekiranya pengajian kemanusiaan ini di perkenalkan di peringkat rendah. Apabila kefahaman ini sudah wujud di kalangan pelajar maka, mudah bagi mereka membentuk jati diri berpandukan nilai-nilai bersama dan universal.

Nilai ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam "1Malaysia" yang sedang menuju ke arah negara maju tahun 2020 dan juga warga dunia yang kompetitif di mana jua berada berlandaskan keunggulan jati diri yang dibina melalui ilmu sejarah.