Tuan Muhd NorFirdaus Tuan Zakaria
Ahmmad Salehuddin Saman
JabatanPengajian Melayu
ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid
tahun lima dalam penggunaan imbuhan apitan memper...kan menggunakan kaedah
Lififabu. Hasil tinjauan awal menunjukkan murid mengalami kekeliruan dan
kesalahan dalam mengggunakan imbuhan ini semasa menulis ayat. Oleh itu,
penggunaan kaedah Lififabu digunakan untuk mengatasi masalah ini. Kajian ini
melibatkan 4 orang murid tahun lima di salah sebuah sekolah di daerah Besut.
Kaedah pengumpulan data yang digunakan ialah pemerhatian, temubual dan analisis
dokumen. Melalui data awal yang dikumpul berdasarkan keputusan Ujian OTI 1
Tahun 5 2014, peserta kajian mendapat keputusan amat rendah. Setelah melalui
intervensi menggunakan kaedah Lififabu, responden menunjukkan peningkatan
penguasaan, pengetahuan dan minat yang positif dalam soal penggunaan imbuhan
apitan memper...kan. Sebagai kesimpulan,berdasarkan dapatan kajian yang
diperoleh membuktikan kaedah Lififabu dapat meningkatkan kefahaman murid.
Cadangan penambahbaikan kajian ini adalah mempelbagaikan aktiviti menggunakan
kaedah Lififabu supaya dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih aktif
kepada murid-murid.
Kata kunci: kefahaman,
minat,imbuhan, Kaedah Lififabu
1.0 Pengenalan
Menurut Amir Hasan (2002), dalam
sebuah bilik darjah, setiap individu mempunyaipsikologi dan kebolehan intelek
yang berbeza antara satu sama lain. Lantaran itu pengajaranyang dirancang perlu
sesuai, disusun (mengikut tahap pelajar) dan disokong (dengan alat
bantumengajar) bagi merangsang perkembangan potensi individu ke tahap yang
maksimum. Oleh itu, guru-guru haruslah bijak dan kreatif dalam pengajarannya
dengan memperbanyakkan penggunaan ABM dalam pengajaran mereka. ABM adalah
penting dalam pengajaran danpendidikan kerana ianya dapat merangsang minat yang
tinggi kepada pelajar untuk belajar.
Semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan sewaktu praktikum fasa
tiga, terdapat beberapa masalah pembelajaran murid yang telah saya kesan semasa
saya mengajar membina ayat bahasa Melayu. Pertamanya, ada murid tidak dapat
menulis ayat dengan baik. Hal ini kerana mereka tidak dapat menggunakan imbuhan
yang betul dan sesuai untuk digandingkan
dengan kata kerja dan kata nama. Imbuhan yang ketara kurang difahami murid
ialah imbuhan memper-...-kan. Keduanya, murid tidak menunjukkan kesungguhan
untuk belajar. Hal ini dapat dilihat apabila ada diantara mereka yang tidak
menunjukkan minat dengan melakukan perkara-perkara yang lain sewaktu
pelaksanaan PdP.
2.0 Fokus Kajian
Fokus masalah saya adalah merujuk kepada membantu
meningkatkan penguasaan murid dalam penggunaan imbuhan apitan. Ini kerana,
murid-murid agak lemah dalam menguasai imbuhan apitan memper-... –kan jika
dibandingkan dengan imbuhan yang lain seperti imbuhan awalan dan imbuhan
akhiran. Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh murid ialah mereka keliru
sama ada mahu menggunakan imbuhan awalan atau imbuhan apitan dan sama ada
imbuhan akhiran atau imbuhan apitan semasa membina ayat.
Hasil
semakan saya mendapati murid-murid masih lemah dalam membina ayat lengkap
dengan menggunakan imbuhan yang betul.Selain itu, murid-murid juga tidak dapat
membezakan jenis imbuhan yang terdapat dalam petikan atau ayat. Mereka sangat
lemah dalam mengenal pasti imbuhan apitan berbanding dengan imbuhan yang lain.
Oleh itu, berdasarkan penelitian yang dilakukan, sayaakan cuba membantu murid
memahami dan menguasai penggunaan imbuhan apitan dengan baik agar mereka dapat
membina ayat dengan betul, tepat dan jelas maksudnya serta dapat membina ayat
dengan lebih baik.
3.0 Objektif Kajian
3.1 Objektif Umum
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan
penguasaan murid dalam kemahiran menggunakan imbuhan apitan memper-... –kan dengan betul menggunakan
Kaedah Lififabu.
3.2 Objektif Khusus
Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk:
(i) Meningkatkan
penguasaan murid mengenai penggunaan imbuhan apitan memper-... –kandengan
menggunakan Kaedah Lififabu.
(ii) Mengatasi
masalah kekeliruan penggunaan imbuhan apitan memper-...–kan murid dengan
menggunakan Kaedah Lififabu.
(iii) Meningkatkan minat murid mempelajari
imbuhan apitan memper-... –kan
denganmenggunakan kaedah Lififabu.
3.3 Soalan Kajian
Beberapa soalan kajian yang terlibat dalam
kajian ini adalah seperti berikut:
(i) Apakah
penguasaan murid dalam penggunaan imbuhan apitan memper-... –kan bolehditingkatkan menggunakan
Kaedah Lififabu?
(ii) Apakah
masalah kekeliruan penggunaan imbuhan
apitan memper-... –kan murid murid dapat diatasi menggunakan Kaedah Lififabu?
(iii) Bagaimanakah minat murid untuk mempelajari imbuhan apitan
memper-... –kan boleh ditingkatkan menggunakan Kaedah
Lififabu?
4.0 Kumpulan Sasaran
Kajian ini dijalankan terhadap murid-murid tahun
5 Siber dari Sekolah Kebangsaan Tok Motong, Jerteh Terengganu.Mereka terdiri
daripada 15 orang murid.Mereka semua mempunyai latar belakang keluarga yang
berbeza-beza.Mereka kebanyakannya terdiri daripada anak jati kampung Tok Motong
dan kawasan sekitarnya.Peserta kajian yang dikenal pasti ialah seramai empat
orang berdasarkan pemerhatian dan perbincangan dengan guru pembimbing yang juga
guru kelas ini.Empat orang murid ini kesemuanya lelaki dan berbangsa
Melayu.Purata markah dalam latihan membina ayat yang diperoleh setiap peserta
kajian ialah dalam kategori rendah.
5.0 Tindakan Dijalankan
Langkah 1: Temu Bual
Saya telah menjalankan satu sesi temu bual separa
berstruktur dengan peserta kajian menggunakan soalan temu bual yang telah
disediakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan masalah murid memahami dan
menggunakan imbuhan memper-…-kan dengan betul.Murid juga ditanya tentang
pengalaman murid dalam sesi PdP yang telah dijalankan sebelum ini.
Langkah 2: Sesi Intervensi& Pemerhatian
Strategi 1(Lihat nota dan contoh sedutan Filem)
Kaedah nota dalam bentuk persembahan elektronik
PowerPoint digunakan untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan peserta kajian
berkenaan imbuhan apitan memper-...-kan.Nota ini turut disertakan dengan
sedutan filem terpilih untuk menarik minat murid.Peserta kajian haruslah
memahami dan mengetahui tentang konsep imbuhan apitan terlebih dahulu.Sesi
penerangan dan perbincangan dilakukan agar peserta kajian lebih faham tentang
penggunaan imbuhan apitan tersebut.
Strategi 2 (Faham)
Setelah
mengetahui konsep dan contoh imbuhan apitan, saya telah menguji
penguasaan peserta kajian dengan memberikan dua petikan yang mengandungi
perkataan berimbuhan apitan. Murid dikehendaki mengenal pasti serta mencatat
perkataan berimbuhan apitan yang terdapat dalam petikan tersebut.Setiap petikan
mengandungi enam perkataan berimbuhan apitan memper-...-kan yang perlu dikenal
pasti dan dicatat dalam ruangan yang disediakan.
Strategi 3 (Buat)
Murid dikehendaki membuat latihan yang diberikan.
Kemudian sayaakan bantu membimbing aktiviti murid. Terdapat dua set soalan yang
perlu dijawan oleh peserta kajian dengan bentuk soalan yang berbeza. Set satu,
murid dikehendaki mengisi tempat kosong dalam ayat dengan memberikan imbuhan
apitan yang sesuai kepada kata dasar yang terdapat dalam kurungan. Set dua pula
murid diminta membina empat ayat menggunakan kata yang mengandungi imbuhan
apitan memper-…-kan.
Langkah 3: Temu Bual& Analisis Dokumen
Saya telah menjalankan sesi temu bual bagi mendapatkan
maklum balas murid.Hasil kerja murid dalam Ujian Faham dan Buat diteliti untuk
dianalisis.
Langkah 4: Gelungan Kedua
Saya telah mengenal pasti kelemahan yang
terdapat semasa sesi pengendalian kaedah Lififabu dijalankan. Saya perlu lebih
memberi penerangan dan masa kepada
peserta kajian supaya mereka lebih faham tentang konsep imbuhan memper-…-kan
dan contoh penggunaannya. Persembahan
elektronik juga diperbaiki supaya senang dan lebih difahami murid.
Langkah 4: Rumusan
Saya akan membuat rumusan akhir terhadap dapatan
kajian yang diperoleh.
6.0 Analisis Data dan Interpretasi
6.1 Dapatan
Analisis Dokumen
Saya melakukan analisis terhadap dua ujian Buat yang
dijalankan ke ataspeserta kajian untuk mendapatkan data berkaitan.
Rajah
1: Markah Ujian Buat 1 & 2
Setelah saya
menjalankan sesi intervensi kepada subjek kajian, terdapat peningkatan markah
yang diperoleh. Pada Ujian Faham &Buat 1, subjek kajian yang pertama kali menjalani Kaedah Lififabu masih
menyesuaikan diri dengan kaedah ini dan markah yang diperoleh kebanyakan
bertumpu pada ujian mengisi tempat kosong. Soalan membina ayat menggunakan
imbuhan apitan memper-…-kan masih kurang mampu dijawab dengan betul dan tepat.
Setelah melakukan pusingan kedua Kaedah Lififabu pada hari yang lain, murid
didapati lebih bersedia dan ini dibuktikan melalui peningkatan markah pada
Ujian Faham &Buat 2.
6.2 Dapatan
Analisis Temu bual
Saya melakukan analisis melalui instrumen temu
bual bagi mendapatkan maklum balas murid.
Terdapat dua sesi dijalankan iaitu Soalan Temu bual Sebelum Intervensi danSoalan Temubual Selepas Intervensi. Temu bual.Temu bual ini
digunakan untuk melihat sejauh mana kekeliruan yang dihadapi murid dapat
diatasi selepas menggunakan Kaedah Lififabu. Di samping itu, temu bual juga
dapat melihat sama ada Kaedah Lififabu dapat menarik minat murid dalam memahami
imbuhan apitan memper-…-kan. Hasil daripada temubual yang dijalankan, peserta kajian menunjukkan
penguasaan dan tidak lagi keliru dalam menggunakan imbuhan ini. Malah subjek
kajian juga menyatakan bahawa dia lebih
berminat menggunakan kaedah ini daripada cara biasa belajar iaitu menggunakan
buku sahaja. Perkara-perkara ini menunjukkan peserta kajian dapat mengatasi
kekeliruan dalam menggunakan imbuhan memper-…-kan setelah menggunakan kaedah Lififabu.
6.3 Dapatan
Analisis Pemerhatian
Pemerhatian ini telah
dilaksanakan semasa intervensi dijalankan.Antara item yang diperhatikan dalam
borang pemerhatian ialah tumpuan murid, interaksi murid dengan guru, kerjasama
dalam melakukan aktiviti, keyakinan diri murid dan tingkah laku yang
ditunjukkan.Berdasarkan pemerhatian
yang dibuat, kesemua murid menunjukkan
tingkah laku yang pelbagai. Murid 1 dan
Murid 2 didapati paling banyak terlibat dalam aktiviti pembelajaran dengan
masing-masing melakukan 8 perkara yang diperhatikan.Murid 3 pula merupakan
murid paling kurang terlibat semasa aktivit dijalankan. Namun kesemua murid
banyak menunjukkan tingkah laku yang baik berbanding tidak terlibat dalam
aktiviti yang dijalankan.Keadaan ini menunjukkan kesediaan dan minat murid
untuk mengikuti sesi intervensi menggunakan Kaedah Lififabu di tahap baik dan memuaskan.
7.0 Rumusan dan Refleksi Dapatan Kajian
Berdasarkan dapatan kajian yang
telah dianalisis, kaedah Lififabu dapat meningkatkan penguasaansubjek kajian
dalam aspek penggunaan imbuhan apitan memper-...-kan dengan betul. Saya
mendapati berlakunya peningkatan dalam jumlah markah yang diperoleh subjek
kajian selepas menjalani dua sesi intervensi . Keadaan ini menunjukkan subjek
kajian sudah mula memahami cara penggunaan imbuhan memper-...-kan dengan betul dan sudah mampu menggunakan
imbuhan ini semasa membina ayat bahasa Melayu. Temu bual juga digunakan untuk
mengetahui persepsi subjek kajian. Hasil temu bual menunjukkan keempat-empat
subjek kajian sudah tidak mengalami kekeliruan besar dalam menggunakan imbuhan ini.Mereka memberikan respon dan jawapan positif
dari setiap soalan yang diajukan iaitu soalan temu bual selepas subjek
kajian menggunakan Kaedah Lififabu.Minat
peserta kajian dalam mendalami ilmu berkaitan imbuhan apitan memper-...-kan
juga dapat ditingkatkan. Hal ini dapat dilihat melalui tingkah laku yang
positif dan aktif semasa menjalani aktiviti ini. Mereka ternyata lebih fokus
dan mudah faham di samping lebih banyak memberikan respon untuk bertanya kepada
saya. Sebagai cadangan, aktiviti berbentuk kuiz
atau aktiviti berkumpulan boleh
digunakan sebagai penambahbaikan.
Rujukan
Abdullah Hassan. (2009). Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah.Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Asmah Haji Omar. (2008). Nahu Kemas Kini:Panduan Bahasa yang Baik dan Betul. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.(2008). Buku Manual Kajian Tindakan Edisi Ketiga. Putrajaya: BPPDP, KPM.
Mohd Hazri Bin Abd Latib.(2010). Meningkatkan
Penguasaan Penggunaan Imbuhan
Apitan Dalam Kalangan Murid Tahun 4
Excellent Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan. Tesis tidak diterbitkan:IPG Kota Baharu.
Nik Safiah Karim
et.al .(2008), Tatabahasa Dewan Edisi
Ketiga, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Shamsina
Shamsuddin.(2013), Panduan Melaksanakan
Kajian Tindakan di Sekolah. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn Bhd.
Shaifullah Bin Hasan Basri.(2013). Meningkatkan Penguasaan Penggunaan Imbuhan Akhiran “-Kan” dan “-An”
Bagi Murid Tahun Empat Menggunakan Printeim Kanan.Tesis tidak
diterbitkan. IPG Kampus Dato‟ Razali Ismail